Friday, July 29, 2005

Hanya Allah yang wajib disembah

Hanya Allah yang wajib disembah


APA yang kamu sembah selain daripada Allah, hanyalah nama-nama yang kamu menamakannya-kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya.
Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Dia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia.
Yang demikian itulah agama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. ( Yusof : 40)

Huraian

Pertanyaan Nabi Yusof a.s. kepada sahabatnya telah memberi gambaran bahawa menyembah tuhan yang lain daripada Allah s.w.t. tidak pernah dibuktikannya. Sembahan selain daripada Allah s.w.t. adalah anutan nenek moyangnya yang terdahulu.
Baginda menerangkan bahawa tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah s.w.t. dan tidak ada kuasa lain yang boleh disembah melainkan Allah yang Maha Esa.
Baginda menyeru bahawa perbuatan menggunakan kekuasaan dan kuasa memerintah untuk menyembah selain daripada Allah s.w.t. merupakan perbuatan paksaan atau memperhambakan manusia.
Ia amat jelas bertentangan sama sekali dengan seruan Nabi s.a.w. dan perintah Allah s.w.t. supaya menyembah Allah semata-mata.
Dalam semua dakwahnya juga baginda menjelaskan makna `ibadat' itu ialah tunduk dan patuh kepada setiap perintah Allah s.w.t. dan mengakui keesaan-Nya.
Manakala makna agama yang lurus dan tepat ialah menyembah Allah s.w.t. yang Maha Esa sahaja dan menjunjung segala titah perintah-Nya semata-mata.

Kesimpulan:

Perbuatan mempercayai adanya kuasa lain selain kuasa Allah yang Maha Berkuasa, adalah suatu kepercayaan yang karut dan boleh membawa kepada syirik, iaitu menyekutukan Allah s.w.t.

Oleh itu Islam menegaskan bahawa perbuatan mensyirikkan Allah s.w.t. merupakan dosa besar dan semua umat Islam diseru untuk menjauhi perbuatan tersebut.

No comments: