CINTAKAN AKHIRAT FORMULA KECEMERLANGAN
Persidangan UMNO baru selesai. Berbagai isu dan resolusi dibentangkan. Saban tahun tidak lari daripada memperkatakan bagaimana memperkasakan bangsa Melayu. Apa lagi suntikan yang perlu untuk mencemerlangkan bangsa ini. Dasar apa pula yang nak di apply kali ini. Selama ini Melayu berterusan di beri ‘tongkat’, tapi sampai bila? Bila pula Melayu belajar bagaimana mendapatkan ‘kunci’nya. Formula apa lagi yang perlu diguna pakai untuk membangunkan bangsa ini bagi memastikan Melayu cemerlang, gemilang dan terbilang? Kita kan Melayu yang mengaku beragama Islam, persidangan UMNO kita mulakan dengan salawat dan marhaban memuja muji Rasul. Beerti kita meletakkan Rasul di hadapan dalam memulakan kepimpinan kita. Tapi apakah peranan Rasul bagi kita hanya untuk di dendang-dendangkan namanya dalam upacara rasmi sahaja. Hanya sebagai satu formality. Kemudian kita letakkan Al Quran di hadapan meja. Kenapa? Apa simboliknya? Apakah peranan Quran dan Rasul begitu terhad, dalam nak selesaikan masalah ummah seolah-olah Tuhan dan Rasul tidak ada formulanya, terpaksa rujuk formula barat atau merujuk aqal semata-mata bukannya menjadikan Quran dan Sunnah sebagai rujukan utama. Apakah Quran dan Sunnah hanya sebagai salah satu agenda politik atau apa sebenarnya. Kalau Al Quran dan Sunnah kita letakkan di hadapan, peranan dan kemampuan Quran dan Sunnah sebenarnya bukan terhad sekadar satu formality tetapi ia sebenarnya pusaka Rasul yang mempunyai himpunan khazanah formula yang mampu memandu dan membawa kecermelangan ummah seperti yang diimpikan bukan yang di ‘mimpikan’ kita. Dengan syarat kita faham bagaimana menggali khazanah Al Quran dan Sunnah untuk memandu hidup kita. Oleh itu mari kita renung sejenak, apa kata Tuhan dan Rasul dalam hal ini.
Rasulullah saw pernah bercerita bahawa di akhir zaman nanti, orang Islam itu lemah, mundur, tidak membangun, tidak maju, pecah belah, hina dan sebagainya. Kalau nak dihurai lebih kurang begitulah maksudnya. Ada sahabat yang bertanya, ‘apakah kejadian itu disebabkan mereka itu sikit’? Rasulullah menjawab ‘tidak’, ‘masa itu mereka ramai, tapi ramainya macam buih di laut. Sebab di waktu itu umat Islam di timpa dua penyakit iaitu cinta dunia dan takutkan mati’.
Rupanya Rasulullah memberi panduan bahawa umat Islam menjadi lemah bagaikan buih di lautan bukan kerana tidak cukup subsidi, tidak dapat tender, tak dapat projek atau tidak dapat AP tetapi kerana 2 penyakit yang sudah menjadi wabak dan berakar umbi iaitu cinta dunia dan takut mati. Kalau begitu beerti untuk keluar daripada kehinaan , kelemahan, kemunduran umat Islam kena tukar strategy iaitu cinta akhirat dan sukakan kematian. Kita kena ingat bahawa syarat ini ialah untuk umat Islam, kerana Tuhan hendakkan umat Islam membangun dan selamat di dunia dan akhirat dengan menggunakan formula Tuhan. Sedangkan orang cina tidak perlukan Tuhan dan Rasul untuk membangun kerana mereka tidak dijanjikan keselamatan di akhirat. Walau setinggi manapun kemajuan dan kecemerlangan yang mereka perolehi di dunia tetapi ia tidak berkekalan. Di akhirat nanti akan menemui kegagalan abadi selamanya. Apakah kita ingin senasib begitu?
Apa yang dimaksudkan di sini ialah umat Islam hari ini nak kuat, nak maju, nak membangun tamadun, nak cemerlang, gemilang dan terbilang tapi tidak bermula dengan cintakan akhirat, padahal cintakan akhirat itulah yang akan membawa kemajuan. Bererti side effect kepada cintakan akhirat ialah kemajuan. Bagaimana hal ini relevan untuk berlaku? Sebenarnya apabila umat Islam sudah cintakan akhirat, cintakan mati, nak mendapat tempat isimewa di akhirat, tentulah melalui agama. Tapi untuk mendapatkannya mestilah diberi ilmu, di beri minda supaya faham. Kalau tidak, orang yang mendapat kesedaran beragama akan beranggapan untuk cintakan akhirat kena solat banyak, wirid banyak, zikir banyak, baca Quran banyak, umrah banyak, akhirnya umat jadi beku dan jumud pula. Jangan fikir cinta akhirat itu ialah banyak ibadah. Itu hanya habluminallah (hubungan dengan Allah) sedangkan agama ada 2 aspek, iaitu habluminalah (hubungan dengan Tuhan) dan habluminannas (hubungan dengan manusia). Hubungan dengan Tuhan hanyalah satu sedangkan kalau habluminannas (hubungan sesama manusia) itu banyak. Bererti kalau diusahakan banyak hubungan dengan manusia beerti kemajuan dengan sendirinya akan terbangun. Bagaimana ia berlaku? Menegakkan agama melalui hablumminannas beerti menggalakkan manusia berkorban, kerjasama, bersatupadu, berkasih sayang, bertolak ansur dan sebagainya. Kalau berlaku begitu maju atau tidak umat ini? Yang menjadi masalah sekarang ialah umat Islam nak maju termasuk orang Melayu tetapi tidak mahu dikaitkan dengan akhirat. Bila tidak dikaitkan dengan Tuhan, kemajuan itu merangsang tamak, sakit hati, jatuh menjatuhkan. Ini yang silap. Umat Islam nak maju dan membangun tapi tidak dikaitkan dengan Tuhan. Akhirnya orang fikir kemajuan tapi akhirnya membawa ke diri. Kita berslogan mari membangun, mari berkorban tapi untuk diri. Sebab itu kita tidak boleh maju. Kita sebenarnya berjuang untuk kepentingan diri belum untuk bangsa, negara dan agama. Sebenarnya agama itu kalau di fahami, tidak payah sebut maju, maju itu akan datang sendiri. Hasil daripada cintakan akhirat maka side effectnya ialah kemajuan.
Akibat nakkan kemajuan untuk diri, maka akan timbullah tamak haloba, gila pangkat dan kuasa akhirnya berlakulah jatuh menjatuhkan, fitnah memfitnah, rasuah, politik wang dan sebagainya. Kalau begitu jangan mimpilah nak ajak berkorban, bekerjasama demi untuk membangun dan berkemajuan. Sebenarnya kemajuan itu ialah side effect daripada orang yang beragama. Tetapi sekarang kita nak ajak orang Melayu maju tapi tidak guna agama, akhirnya bila dapat kemajuan pula jadi sombong , mula nak jatuh menjatuhkan satu sama lain pula. Jadi sebenarnya kita tidak payah sebut maju, hakikatnya bila beragama betul-betul maka akan lahirlah kemajuan. Tapi kalau tiap-tiap hari sebut maju cemerlang, gemilang terbilang tapi tidak dikaitkan dengan Tuhan kesan daripada kemajuan itu sangat rosak dan merosakkan. Bila kita dapat projek orang tidak senang, orang dapat kita tidak senang pula. Formula nak maju begini tidak betul, nak maju itu kena cintakan akhirat, kena berkorban, jadi majulah.Tak perlu sebut maju. Bangunkan habluminallah dan habluminannas maka akan lahirlah kemajuan. Macamlah orang yang nak anak tapi dia tidak mahu kahwin boleh ke? Begitulah kemajuan, fahamkan agama dengan betul, bila di amalkan maka anak daripada hasil agama ialah kemajuan.
Hari ini bila pemimpin dah jahil, dah tidak faham, bersidanglah lima hari lima malam pun, hasilnya orang Melayu tak ke mana, nak maju tapi hanya untuk diri. Cara itu hanyalah untuk diri sendiri bukannya untuk bangsa, sebab ia tidak di kaitkan dengan agama. Kalau tidak masakan Rasulullah berkata orang yang paling bijak ialah yang banyak mengingati mati. Kalau begitu marilah kita lancarkan satu resolusi baru, yakni Dasar Cintakan Akhirat. Maka bijaklah umat ini apabila telah kembali ke landasan sebenar menjadikan Tuhan dan Rasul sebagai rujukan utama dalam memperkasakan ummah. Maka side effect daripadanya akan terbangunlah kemajuan yang selamat lagi menyelamatkan.
No comments:
Post a Comment