Friday, March 31, 2006

HUTANG DALAM ISLAM

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu
`Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah

MEMBERI hutang adalah amalan yang mulia jika tujuannya untuk
meringankan bebanan orang yang dalam kesusahan dan kesempitan hidup.
Bukan dengan tujuan mengambil kesempatan atau faedah daripada
orang-orang yang berhutang.
Jika dilihat kepada konsep kemasyarakatan, memberi hutang sangat
digalakkan kerana orang yang memberi hutang akan mendapat ganjaran yang
istimewa di sisi Allah Subhanahu Wataala. Sabda Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wasallam yang maksudnya:
"Sesiapa yang menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan seorang
mukmin di antara kesusahan-kesusahannya di dunia, maka Allah akan
menghilangkan atau melapangkan suatu kesusahan di antara
kesusahan-kesusahannya pada Hari Kiamat. Sesiapa yang memberikan
kemudahan atas orang yang dalam kesulitan, maka Allah akan memberinya
kemudahan di dunia dan akhirat." (Hadis riwayat Mustaim, Abu Dawud dan
Tirmidzi).
Hadis di atas jelas menunjukkan kelebihan orang yang melepaskan
kesusahan orang lain termasuk memberi hutang. Berbeza halnya dengan
orang yang berhutang. Berhutang adalah amalan yang tidak digalakkan
oleh Islam kerana hutang itu merupakan kesusahan di malam hari dan
penghinaan di siang hari. Hutang juga akan menyebabkan seseorang itu
menanggung amanah yang mesti ditunaikan iaitu melunaskan hutang. Jika
ketika hidupnya hutang tersebut belum dilunaskan, maka apabila dia
meninggal dunia hutang tersebut hendaklah dibayar daripada harta pusaka
yang ditinggalkannya sebelum dibahagi-bahagikannya kepada
waris-warisnya. Demikianlah beratnya tuntutan Islam dalam kewajipan
membayar hutang.
Dari itu hutang perlu dijelaskan dengan segera. Jangan suka atau
sengaja tidak menghiraukan hutang sehingga menyebabkan hutang tersebut
tertangguh begitu lama sekali dengan berbagai-bagai alasan yang
diberikan mengenainya sehingga kadang-kadang menyebabkan kesusahan
kepada orang yang memberi hutang. Dalam keadaan-keadaan lain, hubungan
kedua belah pihak menjadi tidak mesra, bahkan seperti bermusuhan.
Kadang-kadang penangguhan itu bukan kerana tidak mampu membayar hutang,
tetapi sengaja dilengah-lengahkan. Menurut rasulullah sallallahu Alaihi
Wasallam orang yang sengaja melambatkan atau melengah-lengahkan
pembayaran hutang dalam keadaan dia boleh melunaskan hutangnya dengan
segera adalah melakukan kezaliman. Demikian ditegaskan oleh Rasullullah
Sallallahu Alaihi Wasallam dalam sabdanya yang maksudnya:
"Orang kaya yang sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang adalah
suatu kezaliman." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan Al-Hakim, Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam besabda yang maksudnya:
"Sengaja melengah-lengahkan hutang oleh orang yang memiliki harta
(untuk membayar hutang) itu boleh menghalalkan kehormatannya dan
menghalalkan hukumannya."
Daripada maksud hadis di atas, Ibnu Hajar Al-Haitsami berpendapat
bahawa orang-orang yang sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang
sedangkan dia berkeupayaan untuk melunaskannya menyebabkan
kehormatannya boleh dicemari dengan menceritakan hal tersebut kepada
orang lain. Walau bagaimanapun hal yang boleh diceritakan itu hanyalah
mengenai buruk perangainya kerana melengah-lengahkan hutang itu sahaja.
Adapun menceriatkan keburukannya yang lain adalah haram hukumnya kerana
orang yang dizalimi itu hanya dibenarkan menceritakan kezaliman dalam
perkara menangguhkan hutang sahaja. dalam perkara menghalalkan hukuman
ke atasnya bererti dia boleh dihukum kerana perbautan sengaja
melengah-lengahkan hutang. Hukuman itu sama ada dipenjara, dirotan atau
seumpamanya. (Az-Zawajir hln 414).
Menurut Ibnu Hajar lagi, sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang
dalam keadaan berkemampuan itu adalah melakukan dosa besar.
Risiko menanggung hutang itu, selain daripada memikul tanggungjawab
membayarnya, ialah bahaya yang lebih besar yang akan menimpa kepada
diri si penghutang jika hutang tidak dibayar. Antaranya disebutkan
dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Tirmidzi dan Ibnu Majah,
sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang maksudnya:
"Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (yakni dihalang daripada
tempat yang mulia) dengan sebab hutanngnya sehinggalah hutangnya itu
dilunaskan."
Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu "umar Radiallahuanhu
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya:
"Sesiapa mati, sedangkan dia msih menanggung hutang satu dinar atau
satu dirham, maka akan diambilkan (ganti) daripada kebaikannya, kerana
di sana tidak ada dinar dan tidak ada pula dirham." (Hadis riwayat Ibnu
Majah).
Di antara risikonya lagi, suatu perisitiwa pernah terjadi di mana
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam enggan menyembahyangkan jenazah
apabila Baginda mengetahui orang yang meninggal itu masih mempunyai
tanggungan hutang.
Tindakan Baginda itu jelas menunukkan tentang ketidaksukaan Baginda
terhadap orang-orang yang berhutang. Tindakan sedemikian memberi
pengajaran kepada orang lain tentang akibat berhutang.
JIka si pehutang benar-benar tidak berkeupayaan untuk membayar
hutangnya dalam jangka atau tempoh yang dijanjikan atau dientukan,
berterus-teranglah kepada pemiutang dan berundinglah bagaimana cara
yang patut dan munasabah untuk membayar hutangnya.
Dari itu kikislah sifat dan tabiat suka berhutang kecuali dalam
perkara-perkara yang benar-benar perlu dan mendesak. Bebaskanlah diri
daripada hutang-hutang agar hidup dalam keadaan riang gembira dan
selesa di dunia dan di akhirat kelak.

3 comments:

alkhair said...

Cuba tidak berhutang kerana boleh menyebabkan stress..Mohon share

Anonymous said...

mohon kebenaran untuk berkongsi ilmu nie.

Anonymous said...

minta izin share...terima kasih atas ilmu yang berguna ni....