Friday, March 10, 2006

Apakah Hadis Ahad

Assalamualaikum Sabley,

olh : Hafiz Firdaus Abdullah

Jika pada satu masa yang lalu muncul satu golongan yang menolak hadis secara keseluruhannya, kini muncul pula golongan yang menerima sebahagian hadis dan menolak sebahagian yang lain. Mereka mendakwa menerima hadis yang bersifat mutawatir dan menolak hadis yang bersifat ahad.

Pada zahirnya manhaj kedua-dua golongan ini kelihatan berbeza. Akan tetapi jika kita mengkaji secara mendalam, sebenarnya tidak terdapat perbezaan antara kedua-dua golongan ini. Ini kerana jumlah hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam yang bersifat mutawatir amatlah sedikit berbandingkan hadis yang bersifat ahad. Justeru apabila golongan ini mendakwa menolak hadis ahad, mereka sebenarnya menolak sebahagian besar hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Manhaj ini tidak jauh berbeza dengan golongan yang menolak hadis secara keseluruhannya, hanya mereka ini (golongan kedua) lebih cerdik sedikit dalam mengelirukan orang ramai yang tidak pakar dalam bidang hadis.

Apakah Hadis Ahad?

Ringkasnya, sumber-sumber ilmu Mustholah Hadis mendefinisikan hadis ahad sebagai sebuah hadis yang diriwayatkan oleh seorang atau dua orang perawi sahaja, khasnya di tingkatan pertama, yakni tingkatan para sahabat.

Ini berbeza dengan hadis mutawatir di mana ia adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh sejumlah perawi (melebihi 4) sehingga tidak mungkin mereka berbuat silap dalam meriwayatkannya.

Kedudukan Hadis Ahad Pada Zaman Awal Islam

Pembahagian hadis kepada sifat mutawatir dan ahad tidak dikenali pada zaman awal Islam, tepatnya pada zaman generasi Salaf. Bagi mereka, syarat untuk diterima sesebuah hadis sama ada dalam persoalan aqidah mahupun hukum adalah kesahihan sanadnya tanpa mempersoalkan sama ada ia bersifat mutawatir atau ahad.

Insya-Allah dalam artikel ini penulis akan memperincikan kenyataan di atas. Kita mulakan dengan mengkaji kedudukan hadis ahad di zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Pada zaman baginda, apa-apa ajaran Islam sama ada dalam bidang aqidah mahupun hukum disampaikan kepada umat secara berseorangan dan berkumpulan. Dalilnya adalah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:

"Tidak sepatutnya bagi orang-orang Mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya supaya mereka itu dapat menjaga dirinya." [Surah al-Taubah 9:122]

Ayat di atas memerintahkan "beberapa orang" untuk tidak keluar berperang, sebaliknya tinggal untuk mengajar agama kepada kaum mereka. Maksud "mengajar agama" adalah umum merangkumi aqidah dan selainnya. Istilah "beberapa orang" boleh mewakili seorang atau dua atau lebih, sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam sebuah ayat yang lain:

"Dan jika ada dua golongan dari orang-orang mukmin yang berperang maka damaikanlah antara keduanya." [Surah al-Hujerat 49:09]

Berkata al-Imam al-Bukhari rahimahullah (256H):

"Jika hanya dua orang yang berperang, mereka termasuk dalam makna ayat di atas." [al-Jami' al-Shahih (Dar al-Fikr, Beirut 1993M), jld. 9, ms. 280]

Oleh kerana itu kita mendapati ajaran Islam pada zaman Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam disampaikan oleh para sahabat secara perseorangan atau berkumpulan dan tidak beramai-ramai dalam jumlah yang besar. Masyarakat mendengar ajaran tersebut tanpa mempersoalkan jumlah sahabat yang menyampaikannya. Pendek kata tidak timbul persoalan ahad atau mutawatir. Al-Imam Ibn al-Qayyim rahimahullah (751H) berkata:

"Termasuk hal ini (kedudukan hadis ahad) ialah pengkhabaran sebahagian sahabat kepada sebahagian yang lain kerana mereka sesungguhnya berpegang teguh kepada hadis yang disampaikan oleh salah seorang dari mereka daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Tidak ada seorangpun daripada mereka yang berkata kepada orang yang menyampaikan hadis daripada Rasulullah bahwa hadis kamu adalah hadis ahad yang tidak memberi faedah ilmu sehinggalah (ia bersifat) mutawatir." [Mukhtasar al-Shawa'iq al-Mursalah (tahqiq: Ridhwan Jami' Ridhwan; Dar al-Fikr, Beirut 1997M), ms. 712]

Manhaj ini diteruskan selepas zaman kewafatan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Para sahabat radhiallahu 'anhum berusaha keras menyampaikan ajaran Islam ke pelbagai wilayah baru. Mereka bergerak secara bersendirian atau berkumpulan namun tidak dalam jumlah yang besar. Orang ramai, yakni generasi tabi'in beriktikad dan beramal dengan setiap hadis yang sahih daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam tanpa bertanya sama ada ia disampaikan secara ahad atau mutawatir.

Manhaj ini berlanjutan sehingga ke zaman para imam mazhab yang empat. Jika kita mengkaji iktikad mereka dalam perkara-perkara aqidah, jelas bahawa mereka menjadikan hadis yang sahih sebagai dalil tanpa membezakan sama ada ia bersifat ahad atau mutawatir. Al-Imam al-Syafi'iy rahimahullah (204H) pernah ditanya oleh Sa'id bin Asad berkenaan hadis umat Islam melihat Allah pada Hari Akhirat, beliau menjawab:

"Wahai Ibn Asad, putuskanlah ke atas aku baik semasa aku masih hidup atau sudah mati bahawa apa sahaja hadis yang sahih daripada Rasulullah shallallahu 'alaihi wassalam maka ia menjadi pendapat (pegangan) aku sekalipun ia tidak sampai kepada aku." [Riwayat al-Imam al-Baihaqi (458H) dalam Manaqib al-Syafi'iy (edisi ringkas oleh Muhammad Nur al-Din al-Banjari; Majlis al-Banjari li al-Tafaqquh al-Din 1996M), jld. 1, ms. 227].

Perhatikan bahawa al-Imam al-Syafi'iy tidak mensyaratkan bahawa hadis itu perlu bersifat mutawatir, yang disyaratkan hanyalah ia memiliki sanad yang sahih.

Manhaj yang seumpama juga dipegang oleh al-Imam Abu Hanifah rahimahullah (150H). Diriwayatkan daripada beliau:

"Kami menetapkan bahawasanya azab kubur (benar) wujud, ianya tidak mustahil dan kami menetapkan bahawa soal Munkar dan Nakir adalah hak sebagaimana yang datang (diriwayatkan) oleh hadis-hadis." [al-Washiyyah, ms. 23 sebagaimana dikemukakan oleh Muhammad bin 'Abd al-Rahman dalam Usul al-Din 'inda al-Imam Abi Hanifah (Dar al-Shami'in, Riyadh 1996M), ms. 504]

Al-Imam Ibn al-Jauzi rahimahullah (597H) meriwayatkan daripada Musaddad bin Musarhad al-Bashri bahawa al-Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah (241H) berkata:

"(Timbangan) al-Mizan adalah benar, (titian) al-Shirath adalah benar, beriman kepada (telaga) al-Haudh dan al-Syafa'at adalah benar, demikian juga beriman kepada al-'Arsy dan al-Kursi dan beriman kepada malaikat maut bahawa ia mencabut ruh dan kemudian dikembalikan ruh kepada jasad. Juga beriman dengan peniupan sangkakala dan keluarnya dajjal ke atas umatnya dan turunnya 'Isa ibni Maryam lalu dibunuhnya (dajjal tersebut)." [Manaqib al-Imam Ahmad bin Hanbal, ms. 169 sebagaimana dikemukakan oleh 'Abd Allah bin 'Abd al-Muhsin al-Turki dalam Usul Mazhab al-Imam Ahmad: Dirasat Usuliyyah Muqaranah (Muassasah al-Risalah, Beirut 1998M), ms. 314].

Jelas bahawa sebahagian daripada perkara-perkara aqidah yang ditetapkan oleh al-Imam Ahmad di atas hanya disebut oleh hadis yang bersifat ahad namun berdarjat sahih.

Inilah juga manhaj al-Imam Malik bin Anas rahimahullah (179H) dan tokoh-tokoh lain yang sezaman dengan para imam mazhab yang empat. Al-Walid bin Muslim rahimahullah (194H) berkata:

"Aku bertanya kepada Sufyan al-Tsauri (160H), Malik bin Anas (179H), 'Abd al-Rahman al-Auza'iy (157H) dan al-Laits bin Sa'ad (174H) berkenaan hadis-hadis melihat Allah (pada Hari Akhirat) dan yang semisal, mereka berkata: Kami beriman kepadanya dengan membiarkan ia sebagaimana ia datang tanpa menafsirkanya." [Riwayat al-Imam Ibn Mandah (395H) dalam Asma' Allah 'Azza wa Jalla wa Shifatihi 'ala al-Ittifaq wa al-Tafarrud (tahqiq: 'Ali bin Muhammad bin Nashr; Maktabah al-'Ulum wa al-Hikam, Madinah 2002M), jld. 3, ms. 115]

Demikian beberapa contoh pegangan para tokoh zaman awal Islam yang menjadikan hadis sahih sebagai sumber iktikad dan amalan tanpa membezakan sama ada ia mutawatir atau ahad. Inilah pegangan yang benar berdasarkan beberapa sebab:

1.Faktor kemungkinan berlakunya kesilapan dalam periwayatan seorang atau dua perawi disifarkan berdasarkan kaedah semakan sanad dan status para perawi hadis (al-Jarh wa al-Ta'dil). Apabila seorang perawi bebas daripada sebarang kekurangan atau kecacatan, maka sekaligus dia juga bebas daripada kemungkinan berbuat silap.

2.Antara perkara yang diperhatikan dalam menilai seorang perawi ialah (a) bertaqwa dengan ketaqwaan yang teguh lagi tinggi, (b) memelihara maruah dan © tidak melakukan kesalahan seperti maksiat dan bid'ah ('Adl); kemudiannya (d) berkemampuan untuk memelihara dan menyampaikan hadis yang mereka terima secara benar pada bila-bila sahaja diminta untuk berbuat demikian (Dhabith). Sifat-sifat ini menjamin seseorang perawi itu tidak akan menyampaikan sesuatu hadis melainkan dia benar-benar yakin bahawa ia berasal daripada Rasulullah secara lengkap lagi sempurna.

3. Setiap hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjadi hujah ke atas umat Islam tanpa mengira sama ada baginda meyampaikannya kepada seorang, dua orang atau ramai orang. Seandainya baginda shallallahu 'alaihi wasallam mengetahui bahawa sabdanya tidak mampu diriwayatkan secara benar oleh seorang sahaja, baginda tidak akan menyampaikan apa-apa ajaran Islam melainkan dalam suasana orang ramai seperti khutbah.

Kedudukan Hadis Ahad Selepas Zaman Awal Islam

Selepas zaman para imam mazhab yang empat, ketulenan manhaj umat Islam mula dicemari dengan pemikiran falsafah dan ilmu kalam. Pemikiran ini sebenarnya sudah mula wujud di kurun pertama dan kedua hijrah tetapi dalam bentuk yang terpencil. Ia hanya mula mendapat tempat yang kukuh mulai kurun keempat dan kelima hijrah. Ringkasnya pemikiran ini memiliki manhaj yang mengunggulkan akal manusia di atas nas wahyu. Antara teori yang dikemukakan oleh pemikiran ini adalah hadis yang bersifat ahad tidak mungkin dapat menghasilkan ilmu yang pasti dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan alam ghaib. Sebaliknya akal manusia itu sendiri adalah alat yang dapat menghasilkan ilmu yang pasti berkenaan alam ghaib. Termasuk dalam perkara alam ghaib ialah apa yang berkaitan dengan aqidah umat Islam itu sendiri.

Pemikiran falsafah dan ilmu kalam ini sedikit sebanyak mempengaruhi manhaj ilmuan Islam daripada kurun keempat hijrah sehingga masa kini. Mereka membahagikan hadis kepada sifat mutawatir dan ahad. Mereka bersepakat bahawa hadis mutawatir dapat menghasilkan ilmu yang pasti manakala terhadap hadis ahad, mereka berbeza pendapat sama ada ia manghasilkan ilmu yang pasti atau sangkaan semata-mata. Akan tetapi perlu ditekankan bahawa perbezaan ini hanya berlaku apabila hadis ahad tersebut berdiri dengan sendirinya. Apabila hadis ahad tersebut memiliki pembuktian (qarinah) atau sudah terkenal dan menjadi amalan orang ramai, maka ia menghasilkan ilmu yang pasti tanpa perbezaan pendapat.

Al-Imam al-Syaukani rahimahullah (1250H) menulis:

"Ketahuilah bahawa perbezaan pendapat yang kami sebut pada awal perbahasan ini berkenaan hadis ahad sama ada menghasilkan ilmu yang berupa sangkaan atau kepastian, ia hanyalah berlaku apabila hadis ahad tersebut tidak disertai dengan pembuktian yang menguatkannya. Adapun jika ia disertai dengan pembuktian yang menguatkannya atau ia sudah masyhur atau dikenali secara terperinci, maka perbezaan tersebut tidak berlaku." [Irsyad al-Fuhul ila Tahqiq al-Haq min 'Ilm al-Usul (tahqiq: Muhammad Hasan bin Muhammad; Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut 1999), jld. 1, ms. 203-204]

Oleh itu sekali lagi ditekankan bahawa apabila dikatakan bahawa para ilmuan mutakhir berpendapat hadis ahad hanya membawa ilmu yang bersifat sangkaan (dzanniy), pendapat mereka itu hanyalah apabila hadis ahad tersebut berdiri dengan sendirinya. Para ilmuan tersebut tetap berpegang kepada hadis ahad dalam kes-kes berikut:

1. Apabila hadis ahad tersebut berperanan sebagai penjelas kepada satu subjek yang asas atau pokoknya telah ditetapkan dalam al-Qur'an dan/atau al-Sunnah yang mutawatir. Maka dalam kes seperti ini hadis ahad diterima sebagai dalil penjelas yang qath'iy. Sebagai contoh, azab kubur ialah subjek yang asasnya telah ditetapkan oleh al-Qur'an. Hadis-hadis yang ada dalam subjek ini hanya berperanan menjelaskan bagaimana rupa azab kubur tersebut.

2. Apabila hadis ahad tersebut membahas satu subjek yang bersamanya terdapat beberapa hadis lain yang membahasnya juga. Maka sekalipun semua hadis-hadis yang membahas subjek tersebut merupakan hadis ahad, menghimpun kesemuanya akan menghasilkan satu dalil yang menduduki taraf mutawatir. Sebagai contoh ialah hadis-hadis berkenaan azab kubur juga. Terdapat sangat banyak hadis yang membahasnya sehingga sekalipun ia semua merupakan hadis ahad, himpunan semua ini mengarahkan kepada kedudukan mutawatir.

3. Apabila hadis ahad tersebut menjadi sumber iktikad dan/atau amalan oleh orang ramai dari kalangan generasi Salaf. Maka ia menjadi dalil syari'at juga kerana tindakan sejumlah generasi Salaf yang beriktikad dan/atau beramal dengannya menjadi bukti hadis tersebut sebenarnya mutawatir, hanya periwayatan yang tercatit dalam kitab hadis yang bersifat ahad. Contohnya ialah waktu solat, cara solat, tatacara haji dan sebagainya.

4. Apabila hadis ahad tersebut memiliki beberapa petunjuk lain (qarinah) daripada al-Qur'an dan al-Sunnah yang mendukungi atau membenarkannya, maka ia juga diterima sebagai satu dalil qath'iy. Contohnya ialah hadis sahih daripada Ibn 'Abbas radhiallahu 'anh yang menerangkan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam menjamakkan solat di Madinah kerana hujan. Hadis ini (menjamakkan solat tanpa musafir) diriwayatkan oleh Ibn 'Abbas seorang sahaja. Akan tetapi ia didukungi dan dibenarkan oleh beberapa petunjuk lain daripada al-Qur'an dan al-Sunnah yang menetapkan kemudahan kepada umat Islam apabila menghadapi kesukaran.

Jika kita mengkaji secara mendalam empat kes di atas, dapat disimpulkan bahawa para ahli ushul masa kini juga berpegang kepada hadis ahad dan menjadikannya sebagai dalil yang qath'iy. Ini kerana tidak ada hadis ahad yang berdiri dengan sendirinya melainkan semua termasuk dalam salah satu atau lebih daripada kes-kes di atas. Dalam erti kata lain, perbincangan sama ada hadis ahad menghasilkan ilmu qath'iy atau dzanniy hanyalah merupakan perbincangan teori semata-mata sedangkan secara praktikalnya semua hadis ahad diamalkan sebagai satu sumber yang qath'iy.

Alhamdulillah daripada perincian di atas berkenaan kedudukan hadis ahad daripada zaman awal Islam sehingga kini, boleh kita rumuskan ia kepada lima poin penting:

1. Pembahagian hadis kepada ahad dan mutawatir tidak dikenali pada zaman awal Islam. Asalkan hadis tersebut memiliki sanad yang sahih, umat Islam generasi awal beriktikad dan beramal kepadanya sama ada dalam urusan aqidah atau selainnya.

2. Pembahagian hadis kepada ahad dan mutawatir adalah kerana pengaruh pemikiran yang mengunggulkan akal manusia di atas nas wahyu. Pemikiran ini mendakwa hadis ahad tidak mungkin dapat menghasilkan ilmu yang pasti berkenaan hal ghaib, khasnya dalam subjek aqidah, melainkan ilmu sangkaan semata-mata.

3. Para ilmuan terkemudian berbeza pendapat sama ada hadis ahad dapat menghasilkan ilmu yang pasti atau sangkaan. Namun jika hadis ahad tersebut memiliki pembuktian atau sudah menjadi iktikad serta amalan orang ramai, maka perbezaan ini tidak wujud lagi.

4. Dengan itu juga perbezaan pendapat tentang kedudukan hadis ahad di kalangan ilmuan terkemudian hanyalah bersifat perbincangan teori manakala dari sudut praktikalnya mereka semua beriktikad dan beramal dengannya. Ini kerana di sisi ahli ilmu yang mendalam lagi luas pengetahuannya, tidak ada hadis ahad yang berdiri dengan sendirinya melainkan semuanya memiliki pembuktian lagi menjadi pegangan umat Islam Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah seluruhnya.

Segelintir golongan yang mempertikai dan menolak hadis ahad masa kini tidak terlepas daripada dua kemungkinan, sama ada mereka sendiri tidak memiliki ilmu yang mendalam berkenaan hadis ahad atau mereka sengaja ingin menolak hadis Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dengan alasan "ianya hadis ahad".

2 comments:

momo muarif said...

Ass kami tidak MENOLAK hadist ahad. akan tetapi kami hanya menjawab pertanyaan dari bawah ini.
'Apakah hadist ahad itu bisa digunakan sebagai DALIL Aqidah atau TIDAK ?
Apakah juga hadist ahad itu bisa di jadikan sebagai DALIL Hukum syara' ?

JAWABANYA;
TENTU JAWABANYA BUKAN MENOLAK ATAU TIDA ,melainkan BISA dan TIDAK sebagai DALIL.
dalam koteks aqidah ,hadist ahad itu sendiri memang tidak bisa TIDAK BISA diGUNAKAN sebagi dali.karena fakta akidah itu sendiri harus Qath'i, atau yakin seratus persen.
FAKTA; hadist ahad itu hanya bisa mengantarkan pada GHALABAH ADH-DHONN [dugaan kuat].

Anonymous said...

eeeddddaan