ISLAM DAN WANITA.
Banyak batasan yang dikemukakan untuk mendefinisikan apa makna keadilan. Tetapi satu hal pasti tidak akan ditolak - keadilan bagi manusia akan terwujud pada saat hak-hak manusia dapat dipenuhi. Yang kemudian berbeza adalah siapakah yang menentukan hak manusia dan apakah cara yang harus ditempuh untuk memenuhi hak-hak tersebut.
SIAPA YANG MENENTUKAN HAK MANUSIA?
Masyarakat kapitalis-sekular yang menentukan sendiri aturan hidupnya di dunia, pada hakikatnya menentukan sendiri hak manusia yang didakwa memiliki empat kebebasan pokok yang akan melahirkan hak-hak manusia sebagai individu dalam masyarakat dan negara. Mereka sepakat bahawa manusia memiliki kebebasan beraqidah, kebebasan berpendapat, kebebasan hak milik, dan kebebasan bertingkah laku. Cuma mereka tidak sepakat mengenai seberapa jauhkah kebebasan-kebebasan itu wajar dimiliki manusia.
Masyarakat Islam walaubagaimanapun, tidak menentukan sendiri hak-hak manusia. Mereka mengetahui hak-hak mereka melalui petunjuk Allah didalam Al-Qur'an dan Hadis. Mereka yakin bahawa hak dari Allahlah yang paling tepat, yang akan mendatangkan kebaikan bagi individu dan masyarakat dalam kehidupan dunia. Mereka meyakini hal tersebut kerana mereka menerima kebenaran firman Allah :
"(Dan) mungkin kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan mungkin kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui" (TMQ Al Baqarah : 216)
Penentuan hak manusia didalam Islam diserahkan sepenuhnya kepada Penciptanya, bukan kepada ahli tafsir lelaki (kerana ada dakwaan kononya ada bias gender dalam tafsir bersifat kelelakian), sehingga dalam masyarakat Islam tidak ada perbezaan pendapat samada seorang pembunuh mempunyai hak untuk hidup atau tidak. Melalui pensyariatan qisas (Al-Quran. 2:178), mereka memahami bahawa pembunuh tidak memiliki hak hidup untuk hidup. Ini adalah kerana Allah telah memberi hak kepada keluarga orang yang terbunuh untuk memutuskan apakah mereka ingin menuntut pembunuh untuk dijatuhi hukuman mati, ataukah mereka memaafkan pembunuh dan ia harus membayar diyat (denda) kepada keluarga orang yang terbunuh. Pada saat keluarga orang terbunuh menuntut hukuman mati keatas pembunuh atau hakim menjatuhkan hukuman mati padanya, itu tidak berarti keputusan tersebut melanggar hak hidupnya. Pada hakikatnya, sipembunuh sudah tidak lagi diberi hak untuk hidup oleh Allah. Sekiranya keluarga orang terbunuh memaafkan, berarti keluarga itu berbaik hati memberikan haknya kepada pembunuh, sama seperti kebaikan orang yang memberikan harta yang menjadi haknya kepada orang lain. Berbeza dengan masyarakat kapitalis, mereka akan berbeza pendapat mengenai hak hidup bagi seorang pembunuh. Perbezaan inilah yang akhirnya 'menentukan' apakah mereka merasa mendapat keadilan atau tidak. Perbezaan seperti ini akan menyebabkan wujud kelompok-kelompok didalam masyarakat kapitalis yang akan terus memperdebatkan hakikat keadilan didalam penghukuman dan perdebatan ini tidak akan pernah selesai.
BAGAIMANA MEWUJUDKAN KEADILAN?
Perbezaan yang terjadi dikalangan masyarakat kapitalis mengenai batas-batas kebebasan manusia untuk menetapkan aturan hidup yang akan menguntungkan dirinya atau kelompoknya, menimbulkan kesulitan pada saat mereka harus menentukan peraturan apa yang harus diterapkan ditengah masyarakat. Aturan yang dianggap adil oleh seseorang mungkin dipandang tidak adil oleh orang lain. Untuk mengurangkan ketidakadilan ditengah masyarakat inilah mereka memerlukan mekanisme pengambilan keputusan oleh majoriti rakyat. Inilah yang melahirkan konsep pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat, yang menjalankan peraturan hidup yang dibuat sendiri oleh majoriti rakyat.
Masyarakat kapitalis memang memerlukan demokrasi, kerana mereka menyerahkan penentuan aturan hidupnya kepada manusia. Sedangkan, pada hakikatnya mereka sepatutnya sedar bahawa hasil dari sistem demokrasi bukanlah suatu keadilan bahkan lebih sering menghasilkan ketidakadilan, termasuk ketidakadilan atas sebab penyalahgunaan sistem ini. Walaubagaimanapun, permasalahan ini mereka justifikasikan kerana sistem kapitalis memang amat memerlukan demokrasi. Hal tersebut tidak terjadi kepada masyarakat Islam. Masyarakat Islam tidak memerlukan demokrasi untuk mewujudkan keadilan bagi seluruh manusia, baik muslim mahupun non muslim, baik lelaki ataupun wanita. Ini adalah kerana masyarakat Iaslam memahami bahwa hak manusia ditentukan oleh Allah dan Allah telah menetapkan cara pemenuhan hak-hak tersebut. Penentuan hak dan kewajiban ini dapat difahami manusia dari hukum-hukum syara' Islam yang digali dari Al-Qur'an dan Hadis. Pelaksanaan syariat Islam ditengah-tengah kehidupan masyarakatlah yang akan menjamin terwujudnya keadilan.
Masyarakat Islam memahami bahawa kunci terwujudnya keadilan di tengah-tengah masyarakat adalah dengan terlaksananya syariat Islam sebagai aturan hidup masyarakat. Hal inilah yang membuat masyarakat Islam dapat menerima kepemimpinan tunggal didalam masyarakat, selama mana pemimpin ini menerapkan hukum Allah, bukan menetapkan aturan yang bersumber dari hawa nafsu manusia. Oleh itu, yang harus dilakukan untuk memastikan keadilan dapat dikecapi dengan sebenar-benarnya adalah berpegang kepada hukum Allah, bukannya meletakkan sumber hukum keatas tangan rakyat.
ISLAM MENJAMIN HAK-HAK WANITA
Kaum wanita yang menghadapi banyak permasalahan kehidupan dan merasa bahawa masalah tersebut berakar pada perlakuan tidak adil terhadap wanita seharusnya dapat melihat bahwa Islamlah penjamin keadilan yang hakiki. Untuk mendapatkan penjelasan yang lebih terperinci, berikut dikemukakan beberapa contoh pemecahan masalah-masalah wanita yang menjadi sorotan dunia saat ini menurut syariat Islam:
1) Masalah kemiskinan, pendidikan, kesihatan dan tindakan buruk terhadap wanita.
Dalam pandangan Islam, masalah-masalah ini timbul kerana tiadanya penerapan hukum-hukum yang berhubungan dengan jaminan keperluan asas bagi rakyat. Keperluan asas rakyat meliputi: a) Keperluan asas yang dipenuhi secara individu untuk setiap individu rakyat dan b) keperluan asas masyarakat. Contoh keperluan asas yang pertama adalah makanan dan pakaian. Sedangkan yang kedua meliputi keperluan masyarakat akan keamanan, kesihatan dan pendidikan.
Kemiskinan menurut Islam terjadi pada saat seseorang individu tidak mampu memenuhi keperluan pokoknya (keperluan individu). Kemiskinan pada wanita terjadi pada saat si suami atau walinya (yang berkewajiban memberi nafkah keperluan asas kepada wanita itu) juga miskin. Jalan keluar untuk mengatasi masalah ini sudah tentu bukannya dengan cara memberi modal kepada wanita agar ia dapat meningkatkan keadaan ekonominya kerana hal itu justeru akan menambah bebanan kepada si isteri yang juga mempunyai tanggungjawab di rumah. Penyelesaian yang akan ditempuh adalah dengan menyediakan pekerjaan atau modal kerja kepada si suami atau wali dari wanita itu, agar ia dapat bekerja atau meningkatkan penghasilannya sehingga ia dapat menafkahi isteri dan anak-anaknya atau saudara wanitanya yang menjadi tanggungannya dalam batasan nafkah yang selayaknya.
Demikian pula apabila negara melaksanakan kewajibannya menjamin pendidikan, kesihatan dan keamanan rakyatnya, seperti yang diperintahkan Allah, masalah-masalah buta huruf, buruknya keadaan kesihatan kaum wanita dan masalah gangguan dan keganasan keatas wanita akan pasti berkurang dengan drastiknya.
Didalam Islam, menuntut ilmu adalah kewajiban bagi kedua-dua lelaki dan wanita, dan pendidikan adalah hak setiap warganegara, termasuk didalamnya para wanita. Negara mengelola dan memberi pendidikan secara percuma kepada setiap warganegara. Pendidikan yang diberikan secara percuma ini bertujuan untuk membentuk pola berfikir dan pola sikap (syakhshiyah) Islam kepada anak didik, serta membekal mereka dengan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan kehidupan. Melalui pendidikan ini, seseorang muslim dibentuk menjadi peribadi yang berilmu (intelektual) agar menyingkapi sikap seorang ahli ibadah yang mulia. Dengan kurikulum pendidikan berteraskan aqidah ini akan muncul para saintis, jurutera, doktor dan lainnya yang beriman dan bertaqwa. Wanita tidak sekali-kali akan dihalang untuk mengikuti bidang-bidang pendidikan yang berbentuk profesional ini. Mereka sendirilah yang akan digalakkan untuk memilih pendidikan profesional yang ingin mereka ingini, disesuaikan dengan kewajiban utama mereka sebagai ibu dan pengurus rumah tangga serta menjaga iffah atau kehormatan mereka sebagai wanita.
Mengenai jaminan terhadap keamanan, negara akan memenuhinya dengan membina aqidah umat sehingga mereka menjadi orang-orang yang bertaqwa dan takut akan adzab Allah yang pedih apabila mereka melakukan kejahatan. Sebagai contoh golongan lelaki diwajibkan Allah untuk menundukkan pandangan mereka ketika berhadapan dengan wanita dan wanita pula diwajibkan menutup aurat dengan cara yang betul ketika keluar dari rumah. Selain itu, negara juga menerapkan hukum yang tegas, yang bersumber dari wahyu, untuk bertindak keatas kejahatan-kejahatan yang berlaku tanpa adanya diskriminasi. Selain itu, harus disedari, salah satu dari punca utama berlakunya kejahatan iaitu tidak terpenuhinya keperluan asas manusia, sudahpun diselesaikan oleh negara sejak awal lagi.
2) Masalah penglibatan wanita sebagai pembuat polisi dan keputusan
Tidak seperti masyarakat kapitalis, masyarakat Islam tidak melihat masalah ini sebagai suatu ketidakadilan terhadap wanita. Didalam Islam, pembuat keputusan memanglah hanya dipertanggungjawabkan kepada seorang individu, iaitu pemimpin. Didalam keluarga pemimpinnya adalah suami, ditingkat wilayah, pemimpin masyarakat adalah wali, dan ditingkat negara pemimpinnya adalah Khalifah. Dalam isu-isu seperti ini, lelaki telah diberi hak oleh Allah untuk memikulnya. Semua kedudukan ini memanglah bukan hak untuk wanita menurut hukum syara'. Ketidakadilan hanya berlaku apabila hukum Allah mengenai hak wanita dilanggar. Sebagai contoh, apabila wanita tidak diperkenankan utnuk memberikan sebarang pendapat atau masukan didalam pembuatan keputusan, atau apabila wanita tidak diperkenankan untuk menasihati pemimpin jika pemimpin tersebut menyalahi syariat Allah. Meletakkan label 'zalim' apabila wanita tidak dibenarkan menduduki kerusi-kerusi yang telah ditetapkan oleh Allah sebagai hak keatas lelaki merupakan satu label yang hanya memanifestasikan kejahilan dan penolakan urusan Allah didalam penetapan ini. Wanita tetap bebas menduduki kerusi-kerusi 'kepimpinan' yang lainnya selama ia tidak bertentangan dengan hukum Allah sebagai contoh sebagai ketua di jabatan-jabatan negara yang tidak berkaitan dengan aspek pemerintahan.
Demikianlah contoh penyelesaian permasalahan wanita menurut pandangan Islam. Penyelesaian permasalahan wanita dengan penerapan syariat Islam dalam kehidupan tidak hanya menjamin keadilan bagi wanita, tetapi juga menjamin keadilan bagi seluruh anggota masyarakat. Itulah penjaminan keadilan yang hakiki.
SATU PERSOALAN KEPADA KITA.
Hipokrasi barat dalam 'memperjuangkan' hak wanita adalah merupakan suatu kejelasan yang tidak dapat dipertikaikan lagi. Kenapakah Barat tidak melabelkan Yvonne Ridley, muslimah yang memeluk Islam setelah beliau ditangkap di Afghanistan dan mengatakan bahawa kekeluargaan Islam adalah yang terbaik, sebagai "a good Muslim"? Ramai lagi wanita barat yang memeluk agama Islam dan memperjuangkan Islam di negara barat - ada yang begitu lantang memperjuangkan nasib mereka yang memakai tudung di sekolah-sekolah di Perancis - namun, apa yang mereka katakan sebagai "a good muslim" adalah seorang wanita dari Malaysia yang tidak menutup aurat dan berjuang selari dengan mereka yang ingin menjatuhkan Islam!
Wahai kaum muslimin, selama kita memperjuangkan Islam, kita tidak memerlukan ideologi selain darinya sebagai neraca kehidupan, untuk kesejahteraan lelaki dan wanitanya. Apa yang diperlukan adalah pemahaman dan penerapan hukum Allah yang mulia melalui Daulah Khilafah 'ala Minhaj Nubuwwah yang wajib kita perjuangkan – yang telah sejak begitu lama memperjuangkan hak wanita dan telahpun terbukti, ketika ia masih berdiri, berjaya meletakkan wanita sesuai dengan kedudukannya sebagai muslimah yang dimuliakan Allah. Bukanlah sekadar perjuangan murahan yang mengemis kepada idea barat dengan berlabelkan Islam dan ingatlah sistem kapitalis barat sendiri telah gagal untuk memartabatkan wanita, yang sehingga hari ini terus dijualbeli – apakah layak pemikiran seperti ini diambil sebagai sandaran untuk mengembalikan hak-hak wanita???
Wallahua'lam
No comments:
Post a Comment