KETAM MENYURUH ANAKNYA BERJALAN BETUL - SISTEM PERUNDANGAN BARAT MENJAGA HAK WANITA?
Barat sering menjadikan isu Islam yang kononnya menindas wanita sebagai sumber utama serangan mereka keatas Islam. Isu Amina sengaja digunakan oleh wartawan barat untuk menghina hukuman rejam kepada penzina. Kapitalisme pada hakikatnya tidak memandang isu seks sebagai suatu masalah yang besar. Penzinaan merupakan satu cara hidup di negara-negara barat. Mungkin keganasan seks masih dianggap sebagai jenayah disana, namun frekuensi kejadiannya memberikan gambaran bahawa ia seolah-olah sudah menjadi 'trend' didalam masyarakat mereka. Marilah kita perhatikan sedikit sebanyak dari contoh yang memanifestasikan hakikat sebenar pandangan barat keatas wanita.
Dalam tahun 2003 sahaja AS menyaksikan 93,233 kes rogol - 63 orang wanita dalam 100,000 telah menjadi mangsa rogol. Pada setiap satu atau dua minit akan ada seorang wanita AS yang diganggu secara seksual dan dalam masa setiap 6 minit 1 kejadian rogol akan berlaku (FBI). Bilangan wanita didera dan dirawat di 'First Aid Centers' melebihi satu juta orang. Dan lebih dari 1,500 wanita dibunuh oleh suami, kekasih dan teman sebilik (The Milenio, Mexico, Sept 26, 2004). Hampir 78% wanita di barat secara fizikal menjadi mangsa gangguan seks sekurang-kurangnya sekali dalam hayat mereka. Tambahan pula, 79% dari wanita barat didera secara seksual sekurang-kurangnya sekali. Kajian yang dilakukan oleh US National Institute of Justice menunjukkan bahawa semasa menghabiskan masa 4 tahun pembelajaran di kolej, 88% wanita menjadi mangsa serangan fizikal atau mangsa seks dan 64% daripada mereka ini pernah mengalami kedua-dua kes. Dekad sebelumnya, kes yang dikendalikan oleh US Equal Employment Opportunity Commission melawan gangguan seksual meningkat 22% (The Sun, July 16, 2004).
Di bumi Uncle Sam sendiri diskriminasi terhadap wanita dalam bidang perkerjaan tidak kurang hebatnya; menurut akhbar The Sun (Julai 16, 2004), kes yang dikendalikan oleh US Equal Employment Opportunity Commission tentang diskriminasi jantina didalam bidang tenaga kerja meningkat 12% dalam masa 10 tahun. Pada tahun 2004, terdapat 2 kes yang menarik perhatian. Ianya berkaitan dengan kes "gender bias" yang melibatkan 1.6 juta pekerja wanita di Wal Mart dan kes yang lain melibatkan 340 staf wanita Morgan Stanley (New York Times, Julai 13, 2004). Wanita yang bidang tugasnya tidak berbeza dengan pekerja lelaki tidak dibayar kadar gaji yang sama - statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh AS menunjukkan bahawa wanita mendapat median gaji 81.1% gaji lelaki.
Penjagaan kesihatan terhadap wanita di AS adalah antara yang paling teruk di dunia; ini diceritakan sendiri oleh Dr. Jody Heyman, dari Harvard School of Public Health. Dari 168 buah negara yang dikaji penulis ini, beliau berkomentar tentang AS sebagai "...far behind the rest ot the World.." (...jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain di dunia) (AP Boston, Jun 17, 2004) .
Kanak-kanak juga sering menjadi mangsa jenayah seks di AS. Setiap tahun terdapat kira-kira 400,000 kanak-kanak di AS yang dipaksa untuk terlibat dalam aktiviti pelacuran atau lain-lain urusan yang berkaitan dengan seks jalanan. National Center for Missing & Exploited Children melaporkan bahawa kes kanak-kanak yang digunakan untuk tujuan eksploitasi seks meningkat secara mengejutkan dari 4,573 kes dalam tahun 1998 kepada 81,987 kes 2003 (The USA Today, Feb 27, 2004).
SIAPAKAH BARAT DAN SIKAP SIS
Dalam mengkaji bagaimana barat berusaha untuk menyerang Islam, kita boleh mengambil beberapa contoh yang disarankan penggunaannya oleh Cheryl Bernard dalam tulisannya (Civil Democratic Islam: Partners, Resources and Strategies, RAND Corporation). Diantaranya adalah isu-isu yang biasa mencetuskan perbincangan hangat dikalangan umat Islam, iaitu demokrasi, Hak Asasi Manusia (HAM), poligami, hukuman hudud, isu minoriti, isu pakaian wanita dan isu suami boleh memukul isteri. Dengan isu-isu inilah keraguan akan dimunculkan dikalangan umat Islam terhadap Fiqh Islam itu sendiri. Sekiranya kita melayari laman web Sisters in Islam (SIS) kita akan dapati isu yang sering diperbincangkan berputar disekitar isu yang sama seperti yang digunakan oleh barat untuk menyerang Islam. Lihatlah sahaja penerbitan mereka - semuanya berputar disekitar isu poligami, rogol isteri, isu meringan-ringankan penutupan aurat, isu suami boleh memukul isteri dan hukum hudud. Kita tidak perlu mengkaji dengan mendalam perjuangan SIS untuk melihat kesamaan perjuangan mereka dengan keinginan barat untuk merendahkan Islam, seperti yang dapat kita baca antara lain didalam tulisan Cheryl Bernard. Mereka yang 'berjuang' seperti ini tidak lain tidak bukan merupakan agen, secara sedar atau tidak, kepada ideologi barat dalam usahanya untuk menghancurkan Islam. SIS pada hakikatnya adalah merupakan pejuang ideologi barat yang menempelkan beberapa ayat Al-Quran sebagai dalih penggunaan Islam.
Barat, dalam melaungkan 'hak wanita' sebenarnya telah memanifestasikan sikap hipokrit mereka. Dari statistik yang diuatarakan diatas, jelas menunjukkan bahawa negara yang menjadi kiblat 'pejuang kebebasan' ini adalah tidak lebih dari ketam yang mengajar anaknya berjalan dengan betul. Sikap hipokrit barat dalam melaung-laungkan slogan membela wanita pada hakikatnya adalah "full of sounds and fury but singnifying nothing".
Kemunafikan Barat tentang Islam dan isu wanita ini sendiri terlalu banyak, contoh klasik yang boleh dikaji antara lain adalah kisah Lord Cromer ketika beliau bertugas sebagai General Konsul British di Mesir (1883-1907). Cromer amat yakin dengan pandangannya bahawa Islam dan masyarakatnya adalah kolot dan terkebelakang. Beliau begitu keras kritikannya terutama didalam isu wanita dan bagaimana Islam menangani masalah wanita. Bagi beliau, kekerasan Islam dalam memastikan wanitanya menutup aurat dan tidak bergaul secara bebas dengan kaum lelaki merupakan halangan yang paling besar dalam membangkitkan pemikiran orang-orang Mesir. Beliau yakin hanya dengan penerapan nilai-nilai barat; dengan membuka 'hijab' wanita, barulah kebangkitan orang-orang Mesir dapat dicapai. Dan apakah yang dilakukan oleh Cromer apabila ia pulang ke Britain? Beliaulah orang yang paling keras menentang hak-hak wanita. Beliau mengetuai Men's League for Opposing Women's Suffrage yang menentang wanita dalam mendapatkan hak mereka untuk mengundi!!! (Leila Ahmed, Women and Gender in Islam: Historical Roots of a Modern Debate)
Contoh yang lebih kontemporari boleh dilihat didalam kata-kata dan perlakuan Presiden Uncle SAM, George W Bush. Diantara justifikasi beliau dalam menyerang Afghanistan dan Iraq adalah 'pembebebasan wanita'. Beliau pernah berucap di UN pada September 2002 dengan mengatakan "Respect for women... can triumph in the Middle East and beyond!" (penghormatan keatas wanita...boleh didapatkan di Timur Tengah dan tempat-tempat lain). Beliau menyerang Afghanistan dengan menggunakan ini sebagai salah satu justifikasi, kemudian Iraq ... kita tunggulah samada AS akan menyerang China, kerana polisi satu anaknya yang anti wanita, India kerana kemarahan keatas pembakaran janda dan Britain kerana kadar penghukumannya yang rendah keatas kes-kes rogol....semua atas alasan yang sama – untuk 'membebaskan wanita'!?
No comments:
Post a Comment