WAHAI SRI KANDI ISLAM BERWASPADALAH DENGAN HIPOKRASI BARAT
Isu wanita sering dijadikan isu murahan oleh Barat untuk menyerang ideologi Islam. Sejak dari dahulu, mereka secara terang terangan menyerang Islam yang kononnya selalu mengongkong wanita didalam banyak aspek kehidupan. Mereka berusaha mengubah persepsi umat dengan memperlihatkan seolah-olah mereka memperjuangkan hak wanita, sedangkan hakikatnya merekalah yang paling banyak memperleceh dan merendahkan martabat wanita yang mulia. Mereka sering menonjolkan 'tokoh wanita' idaman mereka sendiri sebagai wadah untuk menyerang ajaran Islam. Taslima Nasreen, sebagai contoh tiba-tiba mendapat pencalonan Hadiah Noble Tahun 2005 kerana tulisannya banyak menyerang dan 'memperbetul' ajaran Islam yang berkaitan dengan wanita. Jadi tidak hairanlah sekiranya akhbar Guardian, dalam laporannya mengenai pergerakan Sisters in Islam begitu ghairah memuji Zainah Anwar dari SIS - "Zainah Anwar is a good Muslim. She is also an outspoken campaigner for women's rights. To many Muslim men in Malaysia and beyond, these two factors are barely compatible" ('Sisters take on scholars in battle for Islam', Simon Tisdall, Guardian Unlimited 1.06.2005). Hakikatnya, isu wanita ini memang sengaja ditonjolkan oleh Barat sebagai api dalam sekam – didalam usaha mereka untuk melahirkan revolusi dalaman pemikiran Islam bagi merealisasikan objektif mereka 'mencairkan' ideologi Islam, agar Islam dapat di 'liberal'kan.
SERANGAN BARAT KE ATAS ISLAM : ISU WANITA
Barat yang amat benci kepada Islam sejak dahulu lagi, telah gagal untuk mengalahkan kekuatan Islam secara fizikal. Sejak dari kesedaran ini, mereka mula mengkaji kekuatan Islam dimana akhirnya mereka mendapati bahawa perlu dilakukan serangan keatas umat Islam dari aspek ajaran Islam itu sendiri. Antaranya, tiga aspek utama yang sering dijadikan 'lubuk' serangan oleh para orientalis barat untuk mengelirukan umat Islam adalah isu jihad, poligami dan emansipasi wanita. Sebagai penaung ideologi kapitalis yang pragmatik dalam perjuangannya, kita perhatikan pula hari ini, Amerika, dalam serangan-serangan ideologinya keatas Islam, sering menggunakan tiga sendi utama - demokrasi, isu wanita dan akauntabiliti pemerintah umat Islam.
Dalam serangan-serangan ini, isu wanitalah yang paling banyak memberi kesan keatas umat Islam sehinggakan kaum wanita yang terpengaruh dengan pemikiran barat ini secara sedar atau tidak telah menjadi proksi barat didalam 'perjuangan' mereka. Dalam sebuah penulisan yang bertajuk 'Afghanistan's Joan of Arc: Dies on the Crucifix of Islam' (Jim Woods, 'Capitalisme Magazine',May 7, 2005) penulis artikel ini telah mengulas penghukuman rejam seorang wanita yang bernama Amina sebagai penzina muhsan (yang telah berkahwin) dengan memuji sistem Barat dan merendahkan Islam. Sikap seperti ini menunjukkan kejahilan dan kebencian barat yang amat sangat keatas sistem Islam. Meskipun bidang kuasa (authority) dan prosidur dalam menjalankan hukuman hudud keatas Amina tidak diperhatikan dengan betul, namun apa yang dijadikan isu bukanlah bidang kuasa atau prosidur tersebut, tetapi hukuman hudud itu sendiri. Penulis, dalam mengakhiri tulisannya mengatakan, "Unlike the legal system in the West which protects the rights of women, Amina's life was subordinated to the needs of the community" (Tidak seperti sistem perundangan di barat yang melindungi hak asasi wanita, nyawa Amina terletak dibawah kehendak masyarakatnya). Dan 'kehendak masyarakat' ini membawa maksud keinginan masyarakat untuk berhukum dengan Islam.
Itulah sikap Barat terhadap Islam - mereka menilai bahawa ideologi merekalah yang terbaik, tetapi pada hakikatnya mereka ini tidak ubah seperti ketam yang menyuruh anaknya berjalan dengan betul. Sautun Nahdhah minggu ini ingin mengajak para pembaca yang budiman untuk sama-sama mengkaji isu ini dengan teliti, berdasarkan rasional dan hukum Allah swt yang suci. Untuk memulakan perbincangan kita, marilah kita melontarkan pandangan kita kepada negara kapitalis barat yang begitu bangga dengan idea kebebasan dan penjagaan hak wanita, yang dijadikan kiblat oleh pejuang 'kebebasan'. Marilah kita merenung...adakah mereka dan sistem mereka layak digunakan untuk menjaga akal, harta, nyawa, keturunan, keamanan, agama dan semua yang dipandang tinggi oleh manusia...atau sebaliknya?
No comments:
Post a Comment