--- In cyberdigest@yahoogroups.com, "IslahGateway" <islahgateway@h...>
wrote:
Ibadah haji kemuncak pengabdian, pengorbanan
Oleh Prof Madya Maznah Daud
BULAN haji Telah tiba lagi
Menunaikan ibadah
Panggilan Baitullah
Tanah suci Makkah
Ya Makkatul Mukarramah
DEMIKIAN sebahagian lirik lagu Panggilan Haji. Mendengarnya hati
bergetar, jiwa terusik dan kaki terasa bagai ditarik untuk melangkah
ke Tanah Suci menyahut panggilan Baitullah.
Sesungguhnya peluang untuk menjejakkan kaki di Tanah Suci, menjadi
tetamu Allah Yang Maha Esa adalah satu kesempatan yang tidak mungkin
dilupakan oleh setiap insan beriman yang pernah mengalaminya.
Setiap Muslim beriman percaya bahawa Islam yang dipegangnya tidak akan
berdiri tegak tanpa tiang. Dan satu daripada tiang itu adalah
menunaikan haji. Lantaran itu hasrat untuk menunaikan haji adalah
cita-cita murni yang sentiasa tersemat dalam hati.
Selepas selesai menunaikan haji, jemaah akan berangkat pulang dengan
hati penuh kesayuan. Segala kepayahan dan kesulitan sepanjang berada
di Tanah Suci, terpahat sebagai kenangan paling manis. Ia menjadikan
kita terus berazam dan bertekad untuk kembali lagi ke sana.
Demikianlah hebatnya rukun Islam yang kelima ini. Ia adalah puncak
pengabdian, pengorbanan dan kecintaan hamba yang kerdil terhadap
penciptanya Yang Esa.
Setiap hari sepanjang tahun, umat Islam di serata pelusuk alam ini
mengerjakan Rukun Islam kedua iaitu solat lima waktu sehari semalam.
Rukun dalam solat semuanya terserlah serta dapat dirasakan
kemanisannya sewaktu mengerjakan haji.
Ketika solat kita mengadap ke arah kiblat. Apabila kita menunaikan
haji, kiblat benar-benar tersergam di depan mata. Ia berdiri megah, di
kelilingi jutaan manusia dalam keadaan berjalan dan berlari bukan
kerana dikejar musuh atau mengejar emas permata yang menjadi
kebanggaan di dunia. Sebaliknya, tiada lain yang dikejar, melainkan
satu saja iaitu keredaan Ilahi.
Selepas wajah di hadapkan ke arah kiblat kita mengangkat tangan
melafaz takbir, mengaku akan kebesaran-Nya yang tiada tanding. Di
sini, kita menyaksikan secara nyata betapa Maha Besar Kuasanya. Tiada
seorang pun dari kalangan jutaan makhluk yang datang dari seluruh
pelusuk dunia boleh mendakwa dia lebih besar dan lebih mulia daripada
manusia lain. Semuanya tunduk terpaku menghadap-Nya memohon ampun di
atas segala dosa, membawa sejuta harapan agar ibadat diterima dan
dianugerahkan syurga.
Selesai bertakbir, kita lakukan rukun qauli yang kedua iaitu membaca
surah al-Fatihah. Dalam ayat kedua surah al-Fatihah, kita memuji
Allah, Pencipta dan Penguasa semesta Alam (Alhamdulillahi
Rabbil-'alamin).
Di sini, kita saksikan jutaan manusia pelbagai bangsa dan budaya
berkumpul di bawah naungan Kaabah yang mulia. Semuanya mengaku dan
berikrar dengan penuh khusyuk dan tawaduk bahawa tiada Tuhan yang
disembah melainkan Allah. Alunan talbiah bergema dalam satu bahasa dan
satu nada: Labbaikallahumma labaik... (maksudnya "Kami menyahut
seruan-Mu ya Allah. Tiada sekutu bagi-Mu. Sesungguhnya segala puji
hanya untuk-Mu dan segala nikmat hanya daripada-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu)
Seterusnya apabila membaca 'Maliki Yaumiddin', mengingatkan kita akan
hari kebangkitan pada akhirat nanti. Di sana nanti, semua manusia akan
dihitung segala amalan dan diberi ganjaran atau balasan
seadil-adilnya. Dalam perjalanan ke Padang Arafah untuk menyempurnakan
rukun haji yang paling utama, seterusnya berangkat ke Mina melalui
Muzdalifah benar-benar menjadi iktibar bagi hari kebangkitan yang
agung di Padang Mahsyar nanti. Perjalanan yang sama jaraknya tidak
menjamin ketibaan dalam jangka waktu yang sama. Ada jemaah yang
berjaya tiba dalam masa singkat, ada yang berjam-jam, malah ada yang
tersesat dan tidak tiba langsung. Semuanya berlaku dengan kehendak dan
izin-Nya semata-mata. Tidak ada siapa yang dapat mengatasinya.
Selepas itu kita berikrar di hadapan-Nya bahawa hanya Dia satu-satunya
yang kita sembah dan hanya Dia satu-satunya tempat kita memohon
pertolongan (IyyaKa na'budu wa iyyaKa nasta'ein). Sesungguhnya mukmin
yang berangkat untuk menunaikan haji, berpisah dengan keluarga untuk
waktu lama, membelanjakan wang banyak, menanggung kesusahan perjalanan
yang jauh serta menggadaikan kesenangan dan keselesaan. Semua itu
adalah penzahiran kepada pengakuan tiada tuhan yang disembah melainkan
Allah. Itulah matlamat hidup kita dan segala apa yang ada pada kita
adalah nikmat yang diberikan-Nya untuk digunakan demi mencari
keredaan-Nya.
Bacaan seterusnya adalah memohon agar ditunjukkan jalan yang lurus,
jalan mereka yang diberikan nikmat sebelum kita. Bukan jalan mereka
yang dimurkai dan bukan juga jalan mereka yang sesat.
Menjejaki bumi Makkah dan Madinah pastinya menggamit kenangan pada
orang yang telah berjuang dengan harta dan jiwa mereka untuk
menegakkan jalan lurus. Di sini, lahirnya Rasulullah saw. Di sinilah
tempat Baginda mula menerima wahyu, berdakwah dan berjihad bersama
sahabat yang ikhlas dan amanah.
Tanpa perjuangan suci mereka, kita tidak akan kenal jalan yang lurus
ini. Malah, tidak kenal siapa Tuhan kita dan apa matlamat hidup di
dunia ini.
Sebelum mengakhiri solat, kita membaca selawat Ibrahimiyah. Dengan
mengerjakan haji baru terasa hikmah di sebalik bacaan selawat itu.
Sesungguhnya hampir keseluruhan rukun, wajib dan sunat haji yang
dilakukan seperti tawaf, saie, melontar dan korban adalah jejak
pengorbanan Nabi Ibrahim dan keluarganya dalam menegakkan agama tauhid
di bumi ini. Malah, kerinduan untuk mengunjungi Tanah Suci berulang
kali dalam jiwa Muslimin juga hasil doa baginda beberapa abad lalu,
ketika meninggalkan putera kesayangannya, Nabi Ismail di bumi Makkah
yang tandus, bersama ibunya, Siti Hajar yang imannya lebih kukuh
daripada binaan Kaabah.
Hayati dan renungilah firman Allah bermaksud: "Wahai Tuhan kami,
sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat
keturunanku di sebuah lembah yang tidak ada tanaman padanya, di sisi
rumah-Mu yang diharamkan pencerobohannya. Wahai Tuhan kami, (mereka
ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan solat. Oleh itu,
jadikanlah hati sebahagian manusia tertarik gemar kepada mereka,
(supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakan rezeki kepada
mereka daripada pelbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga
mereka bersyukur." (Surah Ibrahim, ayat 37).
PENULIS ialah pensyarah Universiti Teknologi Mara dan boleh dihubungi
pada wanitajim0@y... dan jawapan kepada persoalan boleh dilayari di
www.wanitajimceria.blogspot.com
--- End forwarded message ---
No comments:
Post a Comment