Salah satu kunci kejayaan Rasulullah s.a.w dalam menyampaikan risalah dakwah ialah dengan memiliki ketinggian akhlak dan mengamalkan dalam kehidupan Baginda s.a.w seperti hubungan dengan keluarga, jiran tetangga, sahabat handai, bahkan dengan kaum kafir juga Baginda s.a.w sering menunjukkan akhlak mulia ini. Ummul Mu’minin, Saiyidatina Aisyah r.a. pernah ditanya, mengenai akhlak Baginda s.a.w, maka Saiyidatina Aisyah menjawab dengan katanya : Maksudnya : akhlak Baginda s.a.w adalah Al-Quran.
Gambaran ketinggian akhlak Baginda s.a.w. juga dirakamkan oleh Allah s.w.t di dalam surah Al-Qalam ayat 4 yang berbunyi :
Maksudnya : "Dan bahawa sesungguhnya engkau ( wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat mulia” .
Akhlak dan sirah perjalanan yang ditunjukkan oleh Rasul s.a.w adalah sebagai contoh teladan yang dapat mendidik diri dan peribadi Muslim agar sentiasa beriman dan bertakwa. Ini kerana setiap perkataan, perbuatan, pengakuan dan tingkah laku Baginda s.a.w mengandungi hikmat dan huraian kepada prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Al-Quran. Maka sudah tentu, setiap perkataan dan tindakan kita yang berpandukan akhlak dan sirah perjalanan Baginda s.a.w, tidak akan terpesong atau tersasar dari landasan agama dan tuntutan syariat .
Sejarah mencatatkan bahawa akhlak Rasulullah s.a.w adalah modal utama yang dapat menarik minat golongan bukan Islam kepada Islam. Contohnya, kisah tauladan seorang Badawi yang membuang air kecil di dalam masjid. Apabila melihat kejadian tersebut, maka para sahabat yang berada di situ naik berang dan hendak memukul Badawi tadi. Bagaimanapun, tindakan mereka dihalang oleh Rasulullah s.a.w, sebaliknya Baginda s.a.w membiarkan Badawi itu selesai membuang air kecil. Kemudian Baginda s.a.w meminta sebekas air lalu disiramkan di tempat kencing tersebut . Rasulullah s.a.w bertanya kepada para sahabat, apakah yang akan terjadi jika mereka mengejar dan memukul Badawi itu semasa sedang membuang air kecil . Maka jawab sahabat, seluruh kawasan masjid akan terkena najis air kencingnya. Kisah ini menjadikan Badawi yang menyaksikan tindakan Rasulullah s.a.w itu merasa kagum dengan ketinggian akhlak Baginda saw lalu beliau pun menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam .
Di antara akhlak Baginda Rasulullah s.a.w yang perlu dicontohi :
- Baginda s.a.w sentiasa memberi salam kepada sesiapa yang ditemui.
- Baginda s.a.w sangat menghormati orang-orang tua, mengasihani orang-orang muda dan kanak-kanak.
- Baginda s.a.w bercakap dengan lemah lembut dan sentiasa menumpukan perhatian kepada orang yang bercakap dengannya.
- Baginda s.a.w tidak pernah menghina orang miskin dan tidak merasa terhina bergaul dengan mereka.
- Baginda s.a.w sentiasa membantu orang lain, walaupun Baginda saw sendiri dalam kesusahan.
- Baginda s.a.w sangat berlemah lembut dengan isteri, anak-anak dan ahli keluarganya.
- Baginda s.a.w tersangat sabar dan tabah apabila mengahadapi setiap cabaran dan kesusahan.
Justeru itu marilah kita bersama-sama mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w dan mengamalkannya. Amat rugi sekali sekiranya kita mengamalkan cara hidup yang bertentangan dengan amalan dan ajaran Islam yang dibawa Rasulullah s.a.w. Dalam surah al-Ahzab ayat ke-21, Allah berfirman dengan maksudnya,
" Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan ( keredaan ) Allah dan ( balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak ( dalam masa susah dan senang )” .
*Olahan dari petikan Khutbah JAKIM yang disampaikan pada 7 April 2006
*Olahan dari petikan Khutbah JAKIM yang disampaikan pada 7 April 2006
No comments:
Post a Comment