Sunday, July 29, 2007

CIRI-CIRI DAN ASAL-USUL HADIS MAWDHU’

CIRI-CIRI DAN ASAL-USUL HADIS MAWDHU’
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Kebanyakkan umat Islam di Malaysia pasti akan pernah
mendengar kalimat kata-kata seperti “Tuntutlah ilmu
walaupun ke negeri China”, “Perselisihan dalam umatku
dalah rahmat”, “Rejab adalah bulan Allah, Sya’ban
adalah bulanku, sedangkan Ramadan adalah bulan umatku”
atau "Sesiapa yang mengenal dirinya maka dia telah
mengenal tuhannya". Ini adalah kerana ianya telah
disebarkan di kalangan masyarakat Islam oleh
sesetengah penceramah dan penulis buku agama dan
mereka sandarkannya sebagai sabda Nabi Muhammad
s.a.w.. Namun begitu tahukah anda bahawa
kalimat-kalimat tersebut merupakan hadis mawdhu’?
Tahukan anda hadis mawdhu’ merupakan seburuk-buruk
serta sejelek-jelek darjat hadis. Hadis mawdhu’ adalah
sesuatu yang diciptakan dan dibuat-buat lalu
dinisbatkan kepada Rasulullah s.a.w. secara dusta
baik mengenai ucapannya, perbuatannya mahupun
perakuannya. Para ulamak juga telah sepakat diharamkan
untuk meriwayatkan hadis mawdhu’ bagi mereka yang
mengetahuinya dalam bentuk apa pun kecuali disertai
dengan penjelasan akan kepalsuan hadis tersebut. Dalil
yang mengharamkan periwayatan hadis palsu adalah sabda
Rasulullah s.a.w.:

Sesungguhnya berdusta di atas (nama)ku tidaklah sama
dengan dengan berdusta kepada orang lain. Maka
barangsiapa yang berdusta di atas (nama)ku dengan
sengaja, hendaklah dia mengambil tempat tinggalnya di
neraka. – Hadis riwayat Imam Bukhari (no: 1291) dan
Muslim (no: 4) di dalam kitab Shahih mereka.

Namun begitu amat mendukacitakan apabila amaran keras
daripada baginda s.a.w. ini tidak di ambil peduli oleh
sesetengah pihak malah bukan sahaja golongan yang
tidak pernah mengikut pengajian Islam membuat
kesalahan dalam mempergunakan hadis mawdhu’ ini tetapi
ada di kalangan yang menggunakan label nama sebagai
ustaz atau ustazah juga terbabit dalam melakukan
perkara yang mungkar ini. Bagi orang awam yang
memiliki ilmu yang minimal dalam bidang hadis pasti
akan menerima bulat-bulat hadis-hadis mawdhu’ tersebut
dan menganggap ianya benar-benar datangnya daripada
Rasulullah s.a.w. lalu mengamalkannya. Maka
bertebaranlah amalan-amalan bid’ah serta
fahaman-fahaman yang sesat di tengah-tengah
masyarakat.

Melihatkan wujudnya ancaman yang keras daripada
baginda, maka perlu bagi umat Islam untuk mengetahui
ciri-ciri yang terdapat di dalam hadis mawdhu’ agar
mudah kita mengesan ia sekiranya disampaikan kepada
kita. Hadis mawdhu’ ini dapat dikenal pasti melalui
kecacatan yang terdapat pada sanad (rangkaian para
perawi yang menyampaikan hadis tersebut) mahupun
matannya (isi kandungan hadis tersebut). Di antara
ciri-ciri untuk mengenali hadis mawdhu’ adalah:

a) Pengakuan dari mereka yang memalsukan hadis
tersebut. Sebagai contohnya Tatkala Ibnu Abi Al-Auja’
ditangkap dan hendak dipenggal lehernya dia telah
berkata: “Aku telah membuat di antara kamu empat ribu
Hadis yang menghalalkan yang haram dan mengharamkan
yang halal.”

b) Terdapat petunjuk bahawa perawi tersebut termasuk
kalangan pedusta dan hadis tersebut tidak diriwayatkan
oleh perawi lain. Sebagai contohnya perawi dari
kalangan pengikut Syi’ah al-Rafidhah seperti Abu
Mikhnaf.

c) Perawi hadis tersebut mengaku secara dusta bahawa
dia telah mengambil riwayat daripada seseorang yang
tidak pernah ditemuinya. Hal ini boleh diketahui
melalui tarikh lahir dan wafat seseorang perawi
mahupun tempatnya bermukim. Ma’mun bin Ahmad
Al-Harawi mendakwa ada mendengar Hadis daripada Hisyam
bin ‘Amman abang kepada Ibnu Hibban, maka Ibnu Hibban
bertanya: “Bilakah engkau ke kota Syam?” Ma’mun
menjawab: “Pada tahun 250H.” Mendengar itu Ibnu Hibban
berkata: “Hisyam meninggal dunia pada tahun 245H.”
Dari sini dapat diketahui bahawa Ma’mun sebenarnya
tidak pernah bertemu dengan Hisyam.

d) Apabila seorang perawi itu mengaku bahawa Nabi
s.a.w. telah melakukan sesuatu perkara di hadapan para
sahabat yang lain, tetapi mereka bersepakat untuk
menyembunyikan perkara tersebut dan tidak
menyebarkannya. Sebagai contohnya hadis mawdhu’ ini:
“Sesugguhnya Rasulullah s.a.w. meraih tangan ‘Ali bin
Abi Thalib r.a di hadapan seluruh sahabat. Mereka baru
sahaja tiba dari melaksanakan haji wada’. Lantas Nabi
(membuat ‘Ali) berdiri ditengah-tengah mereka
sehingga dapat dilihat oleh semua hadirin. Kemudian
baginda bersabda: “Ini adalah waashiku (orang yang
menerima wasiat) dan saudaraku serta khalifah (orang
yang menggantikan) setelah aku. Maka dengarkanlah oleh
kamu semua (perkataannya) dan taatilah (perintahnya).”

e) Hadis tersebut bercanggah dengan ajaran al-Qur’an
ataupun hadis yang sabit daripada Rasulullah s.a.w..
Sebagai contohnya hadis mawdhu’: “Anak Zina tidak akan
masuk ke syurga sampai tujuh keturunan” yang
bercanggah dengan firman Allah S.W.T.: Dan tiadalah
(kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang
melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya;
dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul
dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya
sahaja). – al-An’aam (6) : 164

Semua hadis-hadis yang menunjukkan bahawa Nabi Khidr
dan Nabi Ilyas masih hidup sehingga kini dan ada di
kalangan golongan sufi yang pernah berjumpa dengan
keduanya adalah rekaan belaka kerana ianya
bertentangan dengan hadis Rasulullah s.a.w.. Misalnya
hadis mawdhu’ dengan lafaz: “Sesungguhnya Rasulullah
s.a.w. sedang berada di masjid lantas baginda
mendengar perkataan dari arah belakangnya. Kemudian
orang-orang pun melihatnya. Tiba-tiba dia adalah
al-Khidr.”

Imam al-Bukhari pernah di tanya tentang masalah
al-Khidr dan Ilyas apakah keduanya masih hidup. Dia
(al-Bukhari) menjawab bagaimana itu boleh terjadi
sedangkan Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

Tidak ada seorangpun yang bertahan di muka bumi sampai
penghujung seratus tahun. – Hadis riwayat Imam
al-Bukhari dan Muslim di dalam Shahih mereka

f) Hadis tersebut bertentangan dengan logik akal serta
nilai-nilai keilmuan seperti hadis mawdhu’ dengan
lafaz ini: “Bahawasanya bumi ini di atas batu hampar
dan batu hampar di atas tanduk lembu, maka apabila
lembu jantan itu menggerakkan tanduknya bergeraklah
batu hampar itu.” Termasuk dalam kategori ini adalah
hadis-hadis tentang khasiat sesuatu bahan makanan
terhadap kesihatan manusia namun ianya ternyata
bercanggah dengan ilmu perubatan seperti hadis mawdhu’
ini: “Buah terung itu adalah penawar bagi segala
penyakit.”

g) Susunan kata-kata dalam hadis tersebut tidak
mencerminkan ianya keluar dari mulut seorang Nabi yang
mana Allah s.w.t. telah berfirman:

Dan dia tidak memperkatakan (sesuatu yang berhubung
dengan agama Islam) menurut kemahuan dan pendapatnya
sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada
Al-Quran atau hadis) tidak lain hanyalah wahyu yang
diwahyukan kepadanya. – al-Najm (53) : 3-4

Misalnya hadis mawdhu’ ini: “Melihat wajah yang tampan
itu boleh mempertajamkan pandangan mata.”

h) Matan hadis tersebut mencemari sifat-sifat Allah
yang maha sempurna dari sebarang bentuk kecacatan dan
tidak menyerupai makhluknya seperti hadis mawdhu’ ini:
“Bahawasanya Allah s.w.t. menciptakan kuda lalu
dipacunya kuda itu hingga berpeluh, maka Dia
menciptakan dirinya dari kuda itu.” Termasuk dalam hal
ini adalah menceritakan tentang perbuatan Allah s.w.t.
secara tidak benar seperti hadis: “Sesungguhnya Allah
telah menciptakan langit dan bumi pada hari ‘Asyuraa.”

i) Hadis yang menerangkan pahala yang sangat besar
terhadap sesuatu kebajikan yang sangat kecil. Sebagai
contohnya hadis mawdhu’ yang berbunyi: “Sesuap makanan
yang diberikan kepada orang lapar lebih utama dari
membina seribu jamek (masjid).”

j) Hadis yang menunjukkan amal ibadah yang melampau
serta menyusahkan seperti solat tanpa henti semalaman
dan memilki jumlah rakaat ratusan bahkan mencecah
ribuan seperti solat al-Raghaaib pada hari Jumaat yang
pertama dalam bulan Rejab, zikir-zikir yang mencecah
ribuan kali dan dilakukan pula tidak sesuai dengan
sunnah Nabi s.a.w. seperti berteriak serta
menari-nari. Sebagai contohnya adalah hadis mawdhu’:
“Jangan kalian melalaikan Jumaat pertama pada bulan
Rejab kerana sesungguhnya Jumaat pertama pada bulan
Rejab adalah malam yang dinamakan malaikat dengan
malam raghaaib.”

k) Hadis yang menunjukkan sifat perkauman serta
mencela kaum yang lain seperi hadis mawdhu’:
“Rasulullah melihat makanan, lantas baginda bersabda:
“Milik siapa ini?” Al-Abbas berkata: “Milik
orang-orang Habsyah, (makanan) milik mereka.”
Rasulullah bersabda: “Jangan kamu lakukan (berikan),
Sesungguhnya mereka jika lapar akan mencuri dan jika
kenyang akan berzina.”

l) Hadis yang menerangkan dosa dan siksa yang sangat
besar atas kesalahan yang kecil. Umpamanya:
“Barangsiapa memakan bawang putih pada malam Jumaat,
maka hendaklah dia masuk Neraka selama tujuh puluh
tahun.”

Penulis yakin pada saat ini para pembaca sudah mula
sedar betapa jeleknya hadis-hadis mawdhu’ ini dan
telah maklum amaran Rasulullah s.a.w. bahawa bagi
sesiapa yang mencipta atau menyebarkan hadis mawdhu’
secara sengaja maka balasannya adalah neraka. Tentu
akan bermain-main di fikiran para pembaca tentang
siapakah yang tergamak untuk memalsukan hadis-hadis
Nabi ini. Maka berikut penulis akan senaraikan
golongan yang bertanggung jawab memalsukan hadis-hadis
Nabi.

a) Mereka yang memalsukan hadis dalam rangka mengajak
manusia ke arah kebaikan dan menghindari kemungkaran.
Dalam satu kajian teliti yang dibuat oleh Mu’ammal bin
Ismail, beliau telah menemui orang yang membuatnya.
Kata beliau: “Aku telah diriwayatkan Hadis ini oleh
seorang Syeikh, lalu aku bertanya: “Siapakah yang
meriwayatkan Hadis ini kepada anda?” Syeikh itu
menjawab: “Seorang laki-laki di Madain, dia masih
hidup.” Aku pergi menemui laki-laki itu lalu bertanya:
“Siapakah yang meriwayatkan Hadis ini kepada anda?”
Orang itu menjawab: “Saya telah diberitahu oleh
seorang Syeikh di Wasith.” Aku pergi menemuinya dan
berkata: “Siapakah yang meriwayatkan Hadis ini kepada
anda?” Dia menjawab: Seorang Syeikh di Abadan. Saya
pergi menemui Syeikh itu bersama-sama dengan Syeikh
dari Bashrah tadi. Dia memegang tanganku lalu
membawaku masuk ke dalam sebuah rumah, tiba-tiba aku
dapati kaum sufi yang berada dalam rumah itu dan
bersama-sama mereka ada seorang Syeikh mereka. Saya
bertanya: “Siapakah yang meriwayatkan hadis ini kepada
anda?” Syeikh itu menjawab: “Tiada sesiapapun yang
meriwayatkan hadis itu kepadaku, tetapi kami telah
melihat manusia telah jauh dari Al-Quran lantas kami
buatlah hadis ini untuk mereka bagi memalingkan hati
mereka kepada Al-Quran”.”

Justeru itu tidaklah begitu menghairankan bagi kita
bahawa terekat-tarekat sufi merupakan lubuk
terkumpulnya hadis-hadis mawdhu’ lalu melalui
merekalah banyak disebarkan perkara-perkara palsu
tersebut kepada masyarakat atas nama tarhib dan
targhib. Mereka beranggapan tidak menjadi kesalahan
untuk menyebarkan riwayat-riwayat palsu asalkan sahaja
kandungan hadis tersebut membawa ke arah kebaikan.
Pada tanggapan mereka kedustaan yang mereka lakukan
hanyalah semata-mata untuk membantu agama Allah.
Adakah mereka ini merasakan ayat-ayat al-Qur’an serta
hadis-hadis Nabi tidak cukup sempurna untuk dijadikan
landasan bagi tarhib dan targhib? Ternyata pemikiran
rosak ini berpangkal dari kejahilan mereka terhadap
syari’at Islam. Berpunca daripada tangan-tangan kotor
mereka inilah maka banyak amalan-amalan bid’ah
tersebar dalam masyarakat. Amalan bid’ah ini pernah
dicela oleh Rasulullah s.a.w. dalam sabdanya:

Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah
(al-Qur’an) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk
Muhammad (al-Sunnah), serta seburuk-buruk perkara
adalah yang diada-adakan (bid’ah) dan setiap yang
diada-adakan (bidaah) adalah sesat. - Hadis riwayat
Imam Muslim di dalam Shahihnya, no: 867

b) Para tukang cerita atau lebih dikenali sebagai
al-Qashshaash yang mencipta hadis-hadis palsu agar
orang ramai merasa tertarik dengan ceramah yang
disampaikan. Apabila dia berjaya menarik perhatian
orang ramai maka tentu dia akan mendapat banyak
jemputan untuk berceramah dan semakin banyak pula
upah yang akan diterima. Di antara contoh golongan ini
adalah Maisarah bin Abdu Rabbih. Ketika ditanya: “Dari
mana anda dapatkan hadis-hadis ini?” Dia menjawab:
“Aku memalsukannya untuk menggembirakan orang.”

Penyakit seperti ini juga telah mula menghinggapi
sesetengah penceramah di kalangan ustaz serta ustazah
yang berceramah dalam pelbagai majlis keagamaan dengan
menyelitkan kisah-kisah palsu agar ceramahnya
kelihatan menarik.

c) Para peniaga yang ingin melariskan jualannya maka
diciptakan hadis-hadis mawdhu’ yang menunjukkan
khasiat barangan jualannya tersebut. Sebagai contoh
kita melihat mereka yang menjual ubat-ubatan berasal
dari daging Dhab, maka dia membawa riwayat-riwayat
yang menunjukkan ianya adalah perubatan Nabawi.
Sedangkan Rasulullah s.a.w. tidak makan daging dhab.

Telah berkata Khalid bin Walid: “Ya Rasulullah adakah
haram memakan dhab?”
Rasulullah bersabda: “Tidak, tetapi ia bukan makanan
bagi kaumku, maka aku tidak memakannya.”
Makan dihidangkan dhab kepada Khalid lalu dia
memakannya sedangkan Rasulullah s.a.w. melihat (Khalid
memakannya). - Hadis riwayat Imam al-Nasa’i di dalam
Sunannya, no: 4242
Hal yang sama kita dapat bagi mereka yang menjual
tasbih yang diperbuat dari kayu koka, kismis jampi,
capal Nabi dan air jampi yang kini telah dikilangkan
dan dijualkan secara komersial. Tanpa segan-silu
mereka telah meriwayatkan perkara yang palsu tentang
fadilat barang jualan mereka dan ianya secara tidak
langsung telah menyebabkan orang ramai sanggup
berhabisan wang ringgit demi untuk mencapai fadilat
palsu tersebut.

d) Golongan zindik dan munafik yang berpura-pura
menjadi orang Islam sedangkan mereka sebenarnya
menjadi musuh dalam selimut. Maka mereka berusaha
merosakkan Islam dari dalam dengan membuat banyak
hadis-hadis palsu. Golongan ini dikatakan telah
membuat empat belas ribu hadis palsu. Abdul-Karim bin
al-Auja’ sahaja telah mengaku membuat empat ribu hadis
mengenai halal dan haram. Mereka ini telah membuat
hadis-hadis yang menyebarkan keyakinan yang syirik,
amalan-amalan bid’ah, manganjurkan perkara mungkar,
perkara yang melemahkan umat Islam dan lain-lain.
Lihat bagaimana akidah sesat yang dibangunkan di atas
dalil-dalil palsu namun ianya masih di amalkan dalam
masyarakat kita seperti fahaman Nur Muhammad, Wihdatul
Wujud dan Tawasul di kuburan. Ini semua adalah hasil
dari serangan yang dilakukan oleh golongan zindik dan
munafik melalui riwayat-riwayat mawdhu’.

e) Kelompok fanatik mazhab juga akan mencipta
hadis-hadis palsu demi untuk meninggikan kedudukan
imam mazhab mereka serta menguatkan
pendapat-pendapatnya. Di kalangan pengikut fanatik
mazhab Hanafi mereka mencipta hadis mawdhu’ untuk
memburuk-burukan Imam al-Syafi’i r.h. Hadis mawdhu’
tersebut memiliki lafaz begini, Rasulullah s.a.w.
bersabda: “Akan muncul di kalangan umat aku seseorang
yang bernama Muhammad bin Idris (Imam al-Syafi’i) yang
akan mendatangkan kerosakan kepada umat ku lebih buruk
daripada iblis dan akan muncul pula di kalangan umat
ku seorang lelaki bernama Abu Hanifah yang akan
menjadi cahaya penyuluh umat aku.” Bagi mazhab Syafi’i
bacaan Bismillah pada setiap permulaan ayat ketika
solat dibacakan dengan keras, maka hadis mawdhu’
diciptakan untuk menguatkan lagi pendapat ini yang
berbunyi: “Aku (Muhammad) berimam kepada Jibril di
sisi Ka‘bah, maka dia mengeraskan bacaan (Bismillah).”

Penipuan serta pemalsuan sebegini juga merupakan
budaya hidup kelompok Syi’ah. Maka tidak hairanlah
sekiranya mereka inilah golongan yang paling banyak
memalsukan hadis untuk menyokong pegangan mazhabnya
yang sesat. Imam Malik r.h ketika di tanya tentang
mereka beliau menyatakan: “Jangan mengajak berbicara
dengan mereka dan jangan meriwayatkan daripada mereka
kerena mereka adalah para pendusta.” Sebagai contohnya
untuk menghina para sahabat mereka telah membuat
riwayat palsu seperti ini: “Daripada Abu Ja’far yang
berkata: “Semua manusia itu telah murtad setelah
wafatnya Nabi kecuali 3 orang.” Aku bertanya:
“Siapakah yang 3 orang itu?” Maka jawabnya :
“Al-Miqdad ibn al-Aswad, Abu Dzarr al-Ghifari dan
Salman al-Farisi.”

f) Terdapat juga mereka yang sengaja membuat hadis
mawdhu’ demi untuk mendekatkan diri kepada penguasa
bagi mendapat ganjaran duniawi. Ini adalah seperti
kisah Ghiath bin Ibrahim An-Nakha’ie Al-Kufi pada satu
hari datang berkunjung ke istana Al-Mahdi. Di kala itu
Al-Mahdi sedang bermain burung dara (merpati) kerana
beliau sangat suka dengan burung-burung merpati itu.
Maka berkatalah Ghiath:
“Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak ada pertaruhan
melainkan pada anak panah, unta atau kuda, ataupun
burung.”
Hadis yang dibawa oleh Ghiath adalah benar, tetapi
tambahan perkataan “ataupun burung” itu adalah
perkataan Ghiath sendiri untuk tujuan membodek
al-Mahdi. Al-Mahdi memahami maksud Ghiath itu lalu
disuruh supaya Ghiath diberi hadiah. Dan setelah
Ghiath pergi, maka Al-Mahdi berkata: “Aku naik saksi
atas engkau, bahawa engkau adalah seorang pendusta
terhadap Rasul.” Dan kemudian dia berkata pula:
“Akulah yang mendorongnya berbuat demikian. Al-Mahdi
kemudian menyuruh supaya burung merpati itu
disembelih.”

g) Ada juga golongan yang mencipta hadis mawdhu’
bermotifkan politik. Sebagai contohnya ketika terjadi
perselisihan di antara Muawiyah bin Abi Sufiyan dan
‘Ali bin Abi Talib maka banyak riwayat-riwayat palsu
dicipta demi untuk menguatkan pihak yang disokong
mereka. Bagi penyokong ‘Ali mereka membuat hadis
mawdhu’: “Apabila kamu melihat Mu ‘awiah di atas
mimbarku, maka bunuhlah akan dia.” Bagi mereka yang
menentang ‘Ali maka mereka mencipata hadis mawdhu’:
“Tidak ada satu pohon pun dalam Syurga kecuali
tertulis atas tiap-tiap daunnya “Tiada Tuhan melainkan
Allah s.w.t. dan Muhammad itu pesuruh Allah s.w.t.”,
Abu Bakar al-Shiddiq, ‘Umar al-Faruq dan ‘Uthman
Zun-Nuraini.”

Begitu juga bagi pengikut kerajaan Bani ‘Abbasiyah
mereka mengeluarkan hadis mawdhu’ ini : “’Abbas itu
ialah orang yang memelihara wasiatku dan ahli
warisku.” Bagi pengikut bani Umayyah pula mereka
meriwayatkan hadis mawdhu’ ini: “Orang-orang yang
kepercayaan itu ada tiga orang; Aku (Muhammad), Jibril
dan Mu’awiah.”

Demikianlah beberapa contoh golongan yang secara
sengaja menempah tempat duduk mereka di neraka dengan
mencipta hadis-hadis mawdhu’. Penulis yakin setelah
melihat ciri-ciri hadis mawdhu’ serta golongan yang
bertanggungjawab menciptanya maka sedikit-sebanyak
kesan-kesan buruk yang disebabkan oleh hadis mawdhu’
ini terhadap masyarakat akan jelas terbayang di minda
para pembaca. Menyedari hakikat ini para ulamak hadis
semanjak zaman berzaman telah merumus serta menerapkan
kaedah-kaedah ilmu hadis demi untuk memudahkan umat
Islam mengenali hadis-hadis mawdhu’ tersebut. Di
antara karya-karya cemerlang warisan ulamak hadis
adalah seperti al-Dhu’afa karya Imam al-Bukhari,
al-Dhu’afa wa al-Matrukun karya Imam al-Nasaa’i, Mizan
al-I’tidal karya Imam al-Dzahabi, Tahzib al-Kamal oleh
al-Mizzi, al-Maqaashid al-Hasanah Fii Bayaan Katsiir
Min al-Ahaadiits al-Musytahirah ‘Ala al-Alsinah karya
al-Hafidz as-Sakhawy, Taqrib al-Tahzib oleh al-Hafidz
Ibnu Hajar al-‘Asqalani, al-Laali’ah al-Mashnu’ah
karya Imam as-Suyuthi, al-Maudhu’at oleh Ibnul Jauzi,
Tanzihu al-Syari’ah al-Marfu’ah’An al-Ahadis
al-Syari’ah al-Mawdhu’ah oleh Ibnu Iraq al-Kittani dan
karya Syaikh al-Albani bertajuk Silsilah al-Hadis
al-Dha’ifah wal al-Mawdhu’ah serta banyak lagi.
Sewajarnya pihak yang bertanggungjawab di Malaysia ini
menyambung warisan yang ditinggalkan oleh para ulamak
hadis ini dengan menubuhkan sebuah Institusi Hadis
peringkat kebangsaan yang akan memantau serta membasmi
penyebaran hadis-hadis mawdhu’ mahupun dha’if (lemah)
dalam segala bentuk sama ada secara penulisan mahupun
lisan. Jumlah mereka yang pakar dalam bidang hadis di
Malaysia sebenarnya adalah begitu sedikit dan ini juga
membuka ruang untuk hadis-hadis yang mawdhu’ dan
dha’if dipergunakan secara semberono. Semoga dengan
penubuhan institusi yang sedemikian rupa, ianya akan
dapat melahirkan lebih ramai alim-ulamak dalam bidang
hadis di negara kita Malaysia.