Friday, May 27, 2011

40 Hadith Keistimewaan Rasulullah saw


40 Hadith Keistimewaan Rasulullah saw - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki

*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan Taman TAR pada 14 Februari 2010
Kata Sayyid Abbas Alawi al-Maliki, Kalau duduk di Madinah, walaupun dengan hanya memakan kekacang, makanan itu tetap terasa sungguh enak kerana jasad Nabi saw yang mulia berada di bumi ini. Nabi saw tidak sama langsung dengan manusia biasa. Allah Ta’ala memuliakan Nabi saw semenjak dari alam roh lagi bahkan ketika jasad Adam belum dimasukkan roh.

 Allah menabal Nabi saw sebagai Nabi ketika Adam berada dalam keadaan diantara roh dan jasad. Sedangkan Nabi-nabi lain dilantik setelah roh dimasuk ke dalam jasad. Para Nabi dan Rasul berikrar bahawa Nabi saw adalah Nabi dan Rasul bagi segala Nabi dan Rasul. Nabi Isa yang akan turun pada akhir zaman akan membawa syariat Nabi saw. Nabi saw tidak serupa dengan makhluk lain.

 Bondanya, Aminah as menyatakan, “Aku tidak pernah berasa bahawa aku sedang mengandungkan satu kandungan melainkan setelah aku terputus haid. Kandunganku tidak berasa berat.” Nabi saw tidak pernah menyakiti sesiapa pun hatta ketika berada dalam kandungan bondanya yang dikasihi.

Adab menyahut panggilan azan ialah dengan membaca salawat ke atas Nabi saw. Orang yang menyatakan bahawa perbuatan membaca salawat selepas azan sebagai satu perkara bidaah sebenarnya tergolong dalam kelompok orang yang telah merendahkan darjat baginda saw sedangkan Allah Ta’ala telah mengangkat darjat Nabi saw. 

Orang sebegini sangat rendah darjatnya dan perangainya tidak ubah seperti Yahudi dan Nasrani yang sentiasa berusaha menurunkan darjat Nabi saw. Imam Abu Nuaim dalam kitabnya yang mahsyur berjudul Dalail Nubuwwah menceritakan bahawa Jubir bin Mut’im apabila sampai di Syam pernah bertemu dengan seorang paderi. 

Paderi itu bertanya kepadanya, “Boleh tak kamu tunjukkan padaku yang mana satu rupa Nabi kamu?” Paderi itu membawanya ke sebuah bilik yang mengandungi banyak patung. Kata Jubir, “Tidak ada patung yang menyerupai Nabi saw disini.” Kemudian paderi itu membawanya ke bilik lain yang lebih besar dan lebih banyak patung. 

Terkejut Jubir apabila didapatinya didalam bilik itu ada patung yang mirip wajah baginda saw dan sahabat besar Abu Bakar ra. Kata Jubir, “Sebelum aku tunjuk patung itu kepadamu, ada lebih baik kamu menunjukkan patung itu kepadaku.” Paderi itu kemudiannya menunjukkan patung yang mirip menyerupai wajah Nabi saw dan juga patung yang mirip dengan rupa Abu Bakar. 

Kata paderi itu, “Inilah wajah Nabi mu dan ini pula adalah wajah sahabat yang menggantikan Nabi mu setelah baginda wafat.” Kata Syeikh, maka betullah bahawa orang Yahudi dan Nasrani ini mengenali Nabi saw seperti mereka mengenali anak-anak mereka berdasarkan isi kandungan yang terdapat dalam kitab Injil dan Taurat yang menceritakan tentang kedatangan nabi akhir zaman.

Kata Syeikh, jangan tinggalkan doa selepas azan dikumandang kerana doa ini adalah sebab untuk kita mendapat syafaat Nabi saw di akhirat kelak. Syeikh Soleh al-Ja’fari[1], seorang wali Allah dari Sudan berhajat hendak kembali ke Sudan setelah tamat tempoh mengajarnya di al-Azhar, Mesir. Pada malamnya, beliau bermimpi Sayyidah Zainab al-Kubra anak kepada Sayyiduna Ali bin Abi Talib.

 Dalam mimpi itu Sayyidah Zainab berkata, "Sampai hati engkau hendak meninggalkan kami di Mesir". Sejak mimpi itu, Syeikh Soleh tidak jadi meninggalkan Mesir. Karomahnya apabila isteri dan keluarganya menghadapi masalah di Sudan, Syeikh Soleh akan terpacul dihadapan rumah.
Nabi saw dijaga Allah Ta’ala. 

Tidak ada orang yang layak menjaga Nabi saw sebab itu Allah Ta’ala mewafatkan orang-orang terdekatnya. Allah Ta’ala memelihara dan mendidik Nabi saw. Yatimnya Nabi saw bukan bermaksud yatim dari segi ketiadaan ibubapa tetapi yatimnya Nabi saw bererti keunggulan. Nabi saw ibarat permata yang sangat bernilai. Sebab itu Allah Ta’ala menjaga Nabi saw. Nabi saw terlalu cintakan Allah Ta’ala sehingga orang Arab Jahiliyyah mengatakan baginda saw sesat. Ketika hilang rasa diri yakni fana’, Nabi saw tenggelam terhadap Allah Ta’ala. Mustaqim yang disebut dalam surah al-Fatihah dan Surah Yaasiin itu adalah jalan Muhammad (jalan yang lurus).

[1] Kata Syeikh, anaknya yang bernama Syeikh Abdul Ghani adalah syeikhul futuh kepada syeikh dimana syeikh telah menerima ilmu darinya.

Thursday, May 26, 2011

Kesempurnaan Rasulullah saw - Disyarah oleh Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin al-Maliki



*Catatan bebas ana di Masjid Darul Ehsan, Taman TAR pada 7 Feb 2010
Bentuk tubuh badan Rasulullah saw banyak diriwayat oleh ahli keluarga Nabi saw seperti Ali bin Abi Talib dan khadamnya, Anas bin Malik. Sahabat Nabi saw sangat ramai tetapi bukan semua berada hampir dengan baginda saw dan bukan semua sahabat sentiasa berada disamping Nabi saw. Oleh itu, ahli keluarga dan khadam Nabi saw yang senantiasa berada rapat dengan Nabi saw telah meriwayat segala perbuatan, perkataan dan perihal keadaan anggota tubuh badan Nabi saw untuk disampai kepada sahabat yang lain bagi menzahirkan kecintaan mereka terhadap baginda saw.

Sifat tubuh badan Rasulullah saw
1. Tubuh badan Rasulullah saw sederhana dan sasa

2. Rambutnya tidak terlalu kerinting dan tidak terlalu lurus

3. Jasad Nabi saw adalah pertengahan bertepatan dengan maksud, “Sebaik-baik perkara adalah pertengahan”

4. Kulitnya putih kemerahan (barangsiapa mengatakan kulit baginda saw hitam maka hukumnya adalah kufur kerana menyalahi riwayat hadith yang mutawatir dan disepakati oleh para ulama. Bagi siapa yang mengatakan kulit Nabi saw hitam dengan niat hendak mencaci maka orang itu boleh dihukum bunuh).

5. Baginda saw berjalan dengan cepat – menunjukkan kegagahan dan himmah (keazaman yang sangat tinggi). Kata Syeikh, ahli hadith perlu mencontohi langkah Nabi saw ini.

6. Kata al-Bara’ ibn Azib[1], Allah swt menciptakan Nabi saw berperawakan sederhana. Bahunya bidang dan sasa.

7. Nabi saw memanjangkan rambutnya hingga ke cuping telinga. Imam Abdullah al-Haddad dan Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki pernah menyimpan rambut hingga ke cuping telinga bagi menyempurnakan maksud hadith Nabi saw.

8. Nabi saw memakai pakaian merah. Memakai baju merah bukanlah haram zaati cuma ulama memakruhkan pakaian warna ini (dan ada ulama sampai mengharamkannya) kerana warna merah itu adalah simbol atau warna kegemaran orang-orang fasiq. Oleh itu, pakailah baju merah dengan niat hendak menyempurnakan sunnah Nabi saw bukannya dengan niat hendak mengikut jalan orang-orang fasiq.

9. Nabi saw sangat tampan. Sabda Nabi saw, Tidak ada Nabi yang diutuskan melainkan ia paling tampan dan paling mulia nasab antara kaumnya. Keturunan Nabi saw adalah keturunan yang paling hebat. Keseluruhan jalur nasab baginda saw adalah paling mulia dizamannya sehingga ke Nabi Adam as. Bonda dan ayahanda Nabi saw adalah golongan orang-orang yang mulia. 

Pernah ulama hadith satu masa dahulu telah mengeluarkan kenyataan bahawa ibubapa Nabi saw adalah kufur. Maka ketika beliau wafat, wajahnya bertukar menjadi hitam. Syeikh Soleh al-Ja’fari, imam Masjid al-Azhar ditangkap ketika mempertahankan ibubapa Nabi saw. Beliau dibawa ke penjara kerana menyatakan ibubapa Nabi saw wafat dalam keadaan Islam ketika mengajar di Masjid Nabawi. 

Sewaktu lalu di hadapan maqam Nabi saw, Syeikh Soleh Ja’fari mengadu dengan katanya, Inikah kesudahanku akibat mempertahankan ibubapamu wahai Rasulullah. Syeikh Soleh kemudiannya dibebaskan tanpa masuk kedalam sel penjara. Syeikh Soleh bertanya kepada pengawal kenapa beliau dibebaskan. Lalu pengawal itu memberitahu, Majikanku bermimpi Rasulullah saw malam tadi meminta beliau membebaskan engkau kerana engkau telah mempertahankan ibubapamu. 

Adapun imam Masjid Nabawi yang menyatakan bahawa ibubapa Nabi saw wafat dalam keadaan kufur meninggal dalam keadaan jasadnya terpaksa disokong dengan konkrit. Ini adalah kerana jasadnya telah berpaling dari arah kiblat ketika dimasukkan kedalam liang lihad.

Kita perlu sedar bahawa Nabi saw bukanlah manusia biasa seperti kita. Kata ulama, sesiapa yang menyatakan Nabi saw itu manusia biasa tanpa menyandarkan kistimewaan kepada tubuh baginda saw maka ia tergolong dalam kelompok jahiliyah. Ini adalah kerana orang kafir jahiliyyah memandang Nabi saw seperti mereka memandang manusia biasa tanpa mempunyai apa-apa keistimewaan.

 Hati mereka terhijab dari melihat kenabian Rasulullah saw. Sedangkan orang-orang yang beriman sentiasa nampak dan menyaksikan tanda-tanda kenabian baginda saw. Kata Umar al-Khattab, aku masuk Islam setelah Nabi saw memandangku dua kali. Pandangannya yang pertama telah mengeluarkan aku dari kekufuran manakala pandangannya yang kedua telah mengisikan iman didalam benak hatiku. Bahkan para wali juga dihijab dengan pakaian kemanusiaan. Kata ulama, kalau diangkatlah hijab tersebut sehingga menampakkan nur cahaya para wali nescaya semua orang akan menyembah wali itu bukannya tuhan. 

Sahabat adalah orang yang paling kenal dan arif tentang Nabi saw maka dengan sebab itu mereka sangat memuliakan Nabi saw. Adakah kita betul-betul sayang Nabi saw? Lemahnya umat Islam pada hari ini ialah kerana mereka tidak cinta kepada Nabi saw dengan sebenar-benar cinta. Kekuatan umat Islam terdahulu adalah kerana cinta dan rindu yang sangat mendalam terhadap Allah dan Rasul-Nya. 

Khalid al-Walid melaungkan slogan “Wahai Muhammad, Wahai Muhammad, Wahai Muhammad” ketika berperang menentang pemuka Nabi palsu, Musailamah al-Kazzab. Laungan itu telah mendatangkan kekuatan luarbiasa kepada tentera Islam sehingga musuh melihat mereka seperti singa-singa yang menerkam dalam keadaan lapar.


[1] Sahabat kecil Nabi saw. Beliau lahir sama tahun dengan Abdullah bin Umar. Beliau pernah ikut Nabi saw berperang dalam Perang Ahzab. Beliau wafat pada tahun 72 H.

Ketinggian akhlak Rasulullah s.a.w



Salah satu kunci kejayaan Rasulullah s.a.w dalam menyampaikan risalah dakwah ialah dengan memiliki ketinggian akhlak dan mengamalkan dalam kehidupan Baginda s.a.w seperti hubungan dengan keluarga, jiran tetangga, sahabat handai, bahkan dengan kaum kafir juga Baginda s.a.w sering menunjukkan akhlak mulia ini. Ummul Mu’minin, Saiyidatina Aisyah r.a. pernah ditanya, mengenai akhlak Baginda s.a.w, maka Saiyidatina Aisyah menjawab dengan katanya : Maksudnya : akhlak Baginda s.a.w adalah Al-Quran.
Gambaran ketinggian akhlak Baginda s.a.w. juga dirakamkan oleh Allah s.w.t di dalam surah Al-Qalam ayat 4 yang berbunyi :
Maksudnya : "Dan bahawa sesungguhnya engkau ( wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang sangat mulia” .
Akhlak dan sirah perjalanan yang ditunjukkan oleh Rasul s.a.w adalah sebagai contoh teladan yang dapat mendidik diri dan peribadi Muslim agar sentiasa beriman dan bertakwa. Ini kerana setiap perkataan, perbuatan, pengakuan dan tingkah laku Baginda s.a.w mengandungi hikmat dan huraian kepada prinsip-prinsip yang terkandung di dalam Al-Quran. Maka sudah tentu, setiap perkataan dan tindakan kita yang berpandukan akhlak dan sirah perjalanan Baginda s.a.w, tidak akan terpesong atau tersasar dari landasan agama dan tuntutan syariat .
Sejarah mencatatkan bahawa akhlak Rasulullah s.a.w adalah modal utama yang dapat menarik minat golongan bukan Islam kepada Islam. Contohnya, kisah tauladan seorang Badawi yang membuang air kecil di dalam masjid. Apabila melihat kejadian tersebut, maka para sahabat yang berada di situ naik berang dan hendak memukul Badawi tadi. Bagaimanapun, tindakan mereka dihalang oleh Rasulullah s.a.w, sebaliknya Baginda s.a.w membiarkan Badawi itu selesai membuang air kecil. Kemudian Baginda s.a.w meminta sebekas air lalu disiramkan di tempat kencing tersebut . Rasulullah s.a.w bertanya kepada para sahabat, apakah yang akan terjadi jika mereka mengejar dan memukul Badawi itu semasa sedang membuang air kecil . Maka jawab sahabat, seluruh kawasan masjid akan terkena najis air kencingnya. Kisah ini menjadikan Badawi yang menyaksikan tindakan Rasulullah s.a.w itu merasa kagum dengan ketinggian akhlak Baginda saw lalu beliau pun menyatakan hasratnya untuk memeluk Islam .
Di antara akhlak Baginda Rasulullah s.a.w yang perlu dicontohi :
  1. Baginda s.a.w sentiasa memberi salam kepada sesiapa yang ditemui.
  2. Baginda s.a.w sangat menghormati orang-orang tua, mengasihani orang-orang muda dan kanak-kanak.
  3. Baginda s.a.w bercakap dengan lemah lembut dan sentiasa menumpukan perhatian kepada orang yang bercakap dengannya.
  4. Baginda s.a.w tidak pernah menghina orang miskin dan tidak merasa terhina bergaul dengan mereka.
  5. Baginda s.a.w sentiasa membantu orang lain, walaupun Baginda saw sendiri dalam kesusahan.
  6. Baginda s.a.w sangat berlemah lembut dengan isteri, anak-anak dan ahli keluarganya.
  7. Baginda s.a.w tersangat sabar dan tabah apabila mengahadapi setiap cabaran dan kesusahan.
Justeru itu marilah kita bersama-sama mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w dan mengamalkannya. Amat rugi sekali sekiranya kita mengamalkan cara hidup yang bertentangan dengan amalan dan ajaran Islam yang dibawa Rasulullah s.a.w. Dalam surah al-Ahzab ayat ke-21, Allah berfirman dengan maksudnya,
" Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan ( keredaan ) Allah dan ( balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan memperingati Allah banyak-banyak ( dalam masa susah dan senang )” .

*Olahan dari petikan Khutbah JAKIM yang disampaikan pada 7 April 2006

Monday, May 16, 2011

Menuju kampung akhirat; kurangilah beban duniamu...



***
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang; selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Renungan
"Dan demikian (pula)Kami telah menjadikan kamu (umat Islam) umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu." (Al-Baqarah: 143)

***
SEKARANG ini sesekali saya duduk-duduk bersama-sama orang tasawuf, orang tarikat. Suatu hari terkesan saya dengan pandangan ini: “Semakin meningkat usia kita (terutama yang sudah memasuki usia tua, mulai 50 tahun) kurangkan beban memburu dunia sebaliknya meningkatkan amalan untuk ke alam sana.”

Teringat saya kata-kata hikmat yang ditulis oleh seorang ahli pondok: “Walau banyak mana pun harta yang kamu kumpulkan di muka bumi ini, suatu hari nanti akan musnah jua hartamu itu hinggalah kamu masuk ke perut bumi. Sebagaimana kamu bermegah melakukan maksiat di muka bumi ini, maka suatu hari nanti kamu tetap akan diazab dalam perut bumi.”

Beliau melanjutkan dengan berkata: “Walau bagaimanpun kamu berlagak dan bertakabur di atas muka bumi ini, suatu hari nanti kamu tetap akan dihina dalam perut bumi. Sebagaimana kamu bermegah dengan memakan dan minum minuman haram, suatu hari nanti tubuhmu tetap akan menjadi makanan ulat.”

Ya, sesungguhnya jarak masa kehidupan sekarang ini (berada di atas bumi) dengan berada di bawahnya (memasuki kubur) tersangat dekat, tetapi kebanyakan orang tidak mempedulikannya, mereka dibuai kelekaan untuk memperbanyak habuan dunia seperti harta benda, pangkat dan kuasa. Dalam mengejar impian ini, mereka tidak peduli sama ada perlu memijak kawan dan juga lawan malah sehingga sanggup menikam kawan dari belakang termasuklah melakukan fitnah. Hal inilah yang berleluasa sekarang ini.

Seorang bijak pandai pula mengandaikan perjalanan kehidupan ini bagaikan kembara ke puncak gunung. Di kaki gunung (sebelum memulakan pendakian), tentulah beban kita banyak (misalnya makanan, minuman dan pelbagai peralatan) tetapi semakin tinggi dakian kita, bebanan semakin berkurangan kerana sebahagian makanan sudah dihabiskan sehinggalah sampai ke puncak gunung beban dipikul hampir habis; tetapi hal sebaliknya berlaku kepada sebahagian besar manusia.

Selain memikul bebanan yang berat, mereka mengutip sisa-sisa di sepanjang laluan menjadikan perjalanan mereka semakin lama semakin sukar. Mereka sendiri menggalas beban yang tidak diperlukan malah ada yang memikul peti sejuk untuk ke puncak gunung yang bersalji. Cuba kita teliti kehidupan kita, apakah kita sudah rasa memadai dengan apa yang kita ada? Malah ada hadis yang menyebut jika kita ada dua buah lembah emas, kita rasa itu tidak memadai, kita mahu lembah ketiga dan seterusnya.

Demikianlah perjalanan kehidupan yang meletihkan. Peluang hidup disia-siakan, dihabiskan semata-mata bagi mengumpul harta, dinar dan emas perak yang semuanya tidak laku apabila sampai di puncak gunung nanti (matilah).

Apabila emas, perak, pangkat dan kuasa menjadi buruan, berleluasalah gejala sosial yang maha hebat sekarang ini. Masyarakat sudah teruk, bahana keruntuhan institusi keluarga sudah dirasai dengan meningkatnya kes bunuh, bunuh diri, penderaan, zina, pembuangan bayi dan aneka maksiat lain.

Itulah kawan fikir saya pada majlis tasawuf berkenaan berkata, semakin meningkatnya usia kita yang menghampiri kematian, kurangkanlah sedikit demi sedikit kelazatan dunia sebaliknya tingkatkan amalan ke alam sana sehingga apabila hampir ‘yakin’ (mati), dunia dapat kita tinggalkan dengan reda dengan keberuntungan akhirat seolah-olah sudah memanggil-manggil kita!
 sumber#

Wednesday, May 11, 2011

Bila Al Quran Mula Bersuara


Bila Al Quran Mula Bersuara
Waktu engkau masih kanak-kanak.............
kau laksana kawan sejatiku
Dengan wudu', Aku kau sentuh dalam keadaan suci, Aku kau pegang
Aku,kau junjung dan kau pelajari
Aku engkau baca dengan suara lirih atau pun keras setiap hari
Setelah selesai engkau menciumku mesra

Sekarang engkau telah dewasa..............
Nampaknya kau sudah tak berminat lagi padaku...
Apakah Aku bahan bacaan usang yang tinggal sejarah...?
Menurutmu, mungkin aku bahan bacaan yang tidak menambah pengetahuanmu
Atau, menurutmu aku hanya untuk anak kecil yang belajar mengaji.......
Sekarang, Aku tersimpan rapi sekali, sehingga engkau lupa di mana Aku tersimpan
Aku sudah engkau anggap hanya sebagai pngisi setormu.

Kadang kala Aku dijadikan mas kawin agar engkau dianggap bertaqwa
Atau Aku kau buat penangkal untuk menakuti iblis dan syaitan
Kini Aku lebih banyak tersingkir, dibiarkan dalam kesendirian, kesepian.
Di dalam almari, di dalam laci, aku engkau pendamkan.
Dulu...pagi-pagi...surah-surah yang ada padaku engkau baca beberapa halaman.
Di waktupetang, Aku kau baca beramai-ramai bersama temanmu di surau.....

Sekarang...seawal pagi sambil minum kopi...engkau baca surat khabar dahulu
Waktu lapang engkau membaca buku karangan manusia
Sedangkan Aku yang berisi ayat-ayat yang datang dari Allah Azzawajalla,
Engkau engkau abaikan dan engkau lupakan...

Waktu berangkat kerja pun kadang engkau lupa baca pembuka surah2ku(Bismillah).
Di dalam perjalanan engkau lebih asyik menikmati musik duniawi
Tidak ada kaset yang berisi ayat Allah yang terdapat di dalam keretamu
Sepanjang perjalanan,radiomu selalu tertuju ke stasyen radio kesukaanmu
Mengasyikkan.

Di meja kerjamu tidak ada Aku untuk kau baca sebelum kau mulai kerja
Di Komputermu pun kau putar musik favoritmu
Jarang sekali engkau putar ayat-ayatku.........
E-mail temanmu yang ada ayat-ayatku pun kau abaikan
Engkau terlalu sibuk dengan urusan dunia mu
Benarlah dugaanku bahawa engkau kini sudah benar-benar hampir melupaiku


Bila malam tiba engkau tahan bersekang mata berjam-jam di depan TV.
Menonton siaran telivisyen
Di depan komputer berjam-jam engkau betah duduk
Hanya sekedar membaca berita murahan dan gambar sampah
Waktupun cepat berlalu.........
Aku semakin kusam dalam laci-laci mu
Mengumpul debu atau mungkin dimakan hama

Seingatku, hanya awal Ramadhan engkau membacaku kembali
Itupun hanya beberapa lembar dariku.
Dengan suara dan lafadz yang tidak semerdu dulu
Engkaupun kini terangkak-rangkak ketika membacaku
Atau waktu kematian saudara atau taulan mu

Bila engkau di kubur sendirian menunggu sampai kiamat tiba
Engkau akan diperiksa oleh para malaikat suruhanNya
Apakah TV, radio ,hiburan atau komputer dapat menolong kamu?
Yang pasti ayat-ayat Allah s.w.t yang ada padaku menolong mu
Itu janji Tuhanmu, Allah s.w.t

Sekarang engkau begitu enteng membuang waktumu...
Setiap saat berlalu...
Dan akhirnya.....
kubur yang setia menunggu mu...........
Engkau pasti kembali, kembali kepada Tuhanmu

Jika Aku engkau baca selalu dan engkau hayati...
Di kuburmu nanti....
Aku akan datang sebagai pemuda gagah nan tampan.
Yang akan membantu engkau membela diri
Dalam perjalanan ke alam akhirat.
Dan Akulah "Al-Qur'an",kitab sucimu
Yang senantiasa setia menemani dan melindungimu.

Peganglah Aku kembali.. .. bacalah aku kembali aku setiap hari.
Karena ayat-ayat yang ada padaku adalah ayat-ayat suci.
Yang berasal dari Allah Azzawajalla
Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Pemurah
Yang disampaikan oleh Jibril melalui Rasulmu
Keluarkanlah segera Aku dari almari, lacimu.......
Letakkan aku selalu di depan meja kerjamu.
Agar engkau senantiasa mengingat Tuhanmu.
Sentuhilah Aku kembali...

Baca dan pelajari lagi Aku....
Setiap datangnya pagi, petang dan malam hari walau secebis ayat
Seperti dulu.... Waktu engkau masih kecil
Di surau kecil kampungmu yang damai
Jangan aku engkau biarkan aku sendiri....
Dalam bisu dan sepi....