Thursday, April 30, 2009

Mencari ketenangan hidup

Mencari ketenangan hidup



Salam,

Tidak dapat kita nafikan manusia sangat memerlukan ketenangan dalam hidup ini. Ada berbagai cara dan bentuk usaha manusia dalam mencari ketenangan jiwa. Ada di antara mereka yang mencari ketenangan jiwa itu dengan pergi melancong, membeli belah, makan angin, bersukan, mereka seni, melukis, mengambil gambar dan sebagainya. Tidak kurang juga yang mencari ketenangan dengan ber'blogging'.

Ada pula sebilangan orang mendapat kelapangan hati dan terhibur dengan cara bergaul dengan manusia, berinteraksi sesama mereka serta melihat keindahan alam. Ada juga yang mencari ketenangan jiwa dengan beribadah seperti membaca al-Quran, berzikir, bersembahyang dan sebagainya.

Tanpa ketenangan jiwa, manusia akan menghadapi banyak risiko, bahkan ia akan mendatangkan penyakit jiwa seperti runsing, resah gelisah dan yang lebih parah lagi kemungkinan besar boleh menyebabkan seseorang itu tidak dapat membuat pertimbangan.

Bukan hiburan semata-mata

Dalam mencari ketenangan jiwa seseorang itu hendaklah berpandukan syarak supaya tidak terbabas daripada landasan syariat. Jika ketenangan dicari melalui permainan, bersuka-ria, dengan lagu, muzik, tari menari, berpesta karaoke atau seumpamanya, itu semua hanyalah bersifat sementara, bahkan akibatnya akan bertambah-tambah parah. Hanya masa sahaja yang akan menentukannya. Sudah menjadi fitrah manusia suka berhibur dengan kesenangan dunia seperti bersenang-senang dengan kemewahan, harta-benda, anak-pinak, bermain, makan minum, pakai dan sebagainya. Bahkan kehidupan dunia juga merupakan pentas permainan dan hiburan bagi manusia.

Firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan tiadalah (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan." (Surah al-An'aam [006], ayat 32)

Firman-Nya lagi yang bermaksud, "Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaa-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." (Surah al-Ruum [030], ayat 21).

Dengan adanya ketenangan jiwa, akan memudahkan seseorang itu mengingati Allah SWT dan melakukan ibadah kepada-Nya kerana tujuan asal manusia itu diciptakan ialah untuk sentiasa menyembah Allah SWT. Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud, "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku." (Surah adz-Dzaariyaat [051], ayat 56)

Orang bukan Islam itu lebih menyukai hiburan dunia yang bertapak semata-mata pada nafsu kerana dunia adalah matlamat hidup mereka seperti juga yang digambarkan oleh al-Quran yang bermaksud, "Dan tentulah mereka akan berkata pula: Tiadalah hidup yang lain selain hidup kita di dunia ini, dan tiadalah kita akan dibangkitkan semula sesudah kita mati." (Surah al-An'am [006], ayat 29).

Sifat hiburan yang mereka sukai itu bukan sahaja melalaikan dan mempersonakan, bahkan lebih banyak membawa kepada perkara-perkara maksiat dan mungkar yang terang-terang mementang kehendak hukum syarak. Apa yang menyedihkan, hiburan sedemikian turut menjadi ikutan dan sajian orang-orang Islam yang sepatutnya menolak segala unsur-unsur mungkar dan maksiat itu.

Sifat orang lalai

Mereka turut terkeliru dengan pujuk rayu orang-orang yang bukan Islam yang mempamerkan hiburan-hiburan palsu sebagai jalan untuk menenangkan jiwa. Namun ketenangan itu cuma seketika, selepas itu kesusahan akan datang kerana ia bertunjangkan fantasi, angan-angan dan khayalan semata-mata. Sebagai orang Islam, kita hendaklah memahami jalan-jalan yang mesti diikuti dalam mencari hiburan. Al-Quran ada mengingatkan kita bahawa orang yang mengutamakan perkara-perkara yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan, yang menyesatkan dirinya dan menyesatkan orang lain akan mendapat azab yang menghinakan, sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud, "Dan ada di antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekkan; merekalah orang-orang yang beroleh azab yang menghinakan." (Surah Luqman [031], ayat 6)

Sifat suka kepada hiburan atau permainan yang melalaikan itu adalah antara paradigma orang bukan Islam. Ini digambarkan oleh firman Allah SWT dalam tafsirnya, "(Orang-orang kafir itu adalah) orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan gurau-senda (hiburan) yang melalaikan, dan mereka telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya) . Maka pada hari (kiamat) ini, Kami melupakan mereka sebagaimana mereka melupakan pertemuan mereka dengan hari ini, dan (sebagaimana) mereka selalu mengingkari ayat-ayat Kami." (Surah al-A'raaf [007], ayat 51)

Inilah persepsi yang difahami oleh sebahagian masyarakat sekarang, sedangkan maksud hiburan itu sendiri lebih luas daripada itu. Hiburan bermaksud mencari ketenangan jiwa, dari itu hanyalah hiburan sejati yang mampu mencapai maksud tersebut.

Mencari ketenangan hidup

Hiburan sejati ialah hiburan yang bertapak di hati. Ia boleh membawa hati yang tenang. Syarat bagi ketenangan hati itu ialah dengan mengisi keperluan asasinya iaitu iman. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram.” (Surah Ar-Ra'd [013], ayat 28)

Oleh itu orang yang beriman akan mendapat hiburan dengan cara berhubung dengan Allah dengan melaksanakan perintah, kewajipan, melakukan perkara-perkara yang disunatkan seperti zikir, puasa, sedekah dan lain-lain seumpamanya, berinteraksi dengan alam ciptaan Allah, dan menerima segala ketentuan daripada Allah SWT.

Apabila melaksanakan perintah Allah, mereka terhibur kerana merasakan perintah itu datang daripada kekasihnya. Kalau yang menyuruh itu kekasih, tidak ada yang disusahkan bahkan kegembiraan yang akhirnya membawa ketenangan. Mereka rasa seronok dan terhibur dengan ibadah tersebut.

Orang mukmin juga rasa terhibur dengan warna kehidupan yang dicorakkan oleh Allah. Hatinya sentiasa bersangka baik dengan Allah, membuatkannya tidak pernah resah. Apabila diberi nikmat mereka rasa terhibur, lalu bersyukur. Diberi kesusahan, mereka terhibur, lalu bersabar. Mereka yakin dengan firman Allah SWT yang bermaksud, “(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Agama Islam yang kami telah sebati dengannya ialah): Celupan Allah (yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya selain daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepada-Nyalah kami beribadat.” (Surah Al-Baqarah [002], ayat 138)

Orang yang beriman juga akan terhibur apabila melihat alam ciptaan Allah SWT. Mereka merasa tenang, bahagia dan gembira melihat pantai, bukit bukau, langit, laut dan sebagainya. Melihat, mendengar dan berfikir tentang keindahan itu sudah cukup bagi mereka merasai keindahan alam dan kebesaran pencipta-Nya. Sifat sedemikian merupakan sifat orang-orang yang bertaqwa iaitu orang yang berusaha memelihara dirinya daripada menyalahi hukum dan undang-undang Allah Ta‘ala. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya pertukaran malam dan siang silih berganti, dan pada segala yang dijadikan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (yang menunjukkan undang-undang dan peraturan Allah) kepada kaum yang mahu bertaqwa.” (Surah Yunus [010]: 6)

Selain itu mereka ini dapat menghayati maksud sabda Rasulullah SAW yang maksudnya, “Sesungguhnya Allah itu indah. Dia suka keindahan.” (Hadis riwayat Muslim)

Islam tidak menolak hiburan dari luar selama hiburan luar itu boleh menyumbang dan menyuburkan lagi hiburan dalaman hati dengan syarat ia mematuhi syariat. Alunan ayat suci Al-Qur‘an, selawat yang memuji Nabi, lagu yang menyuburkan semangat jihad, puisi atau syair yang menghaluskan rasa kehambaan kepada Tuhan, pasti akan menyuburkan lagi iman mereka. Firman Allah SWT yang tafsirnya, “Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu kitab suci Al-Qur‘an yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain (tentang benarnya dan indahnya), yang berulang-ulang (keterangannya, dengan berbagai cara); yang (oleh kerana mendengarnya atau membacanya) kulit badan orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menjadi seram; kemudian kulit badan mereka menjadi lembut serta tenang tenteram hati mereka menerima ajaran dan rahmat Allah.” (Surah Az-Zumar [039], ayat 23)

Firman-Nya lagi yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat- Nya) gementerlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah (bertawakal) .” (Surah Al-Anfaal [008], ayat 2)

Dan firmanNya lagi yang tafsirnya, “Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, serta orang-orang yang mendermakan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepadanya.” (Surah Al-Hajj [022], ayat 35)

Semua ibadat jika dilaksanakan dengan penuh perhatian, pasti akan memberi ketenangan jiwa, lihat sahaja ibadat sembahyang, sekalipun merupakan suatu kewajipan orang Islam, ia juga suatu hiburan yang kekal yang menjadikan hati orang yang beriman dan bertaqwa itu terhibur dengan sembahyang kerana mereka terasa sedang berbisik-bisik, bermesra, mengadu dan merintih dengan kekasih hatinya iaitu Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Hal ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW bahawa dengan sembahyang, hati orang beriman dan bertaqwa sudah terhibur, Baginda bersabda yang maksudnya, “Di antara kesenangan dunia yang aku sukai ialah wanita, wangi-wangian dan penenang hatiku adalah sembahyang.” (Hadis riwayat Al-Nasa‘ei)

Semoga kita sentiasa menjaga iman dan rahmat Allah SWT adalah hampir kepada mereka yang sentiasa berserah diri kepada-Nya. Amiin.

--
- BawangGoreng -
http://bawangorengn et.blogspot. com/
http://mambangdiawa n-kiosk.blogspot .com/
¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤
Firman Allah SWT :
[7:179] Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.

Hadis Rasulullah SAW:
Dari Abu Hurairah r.a., dari Rasulullah SAW., sabdanya: "Siapa yang tasbih tiga puluh tiga kali, tahmid tiga puluh tiga kali, takbir tiga puluh tiga kali, jadi jumlahnya sembilan puluh sembilan kali, kemudian dicukupkannya seratus dengan membaca: "La ilaha illallahu wahdahu la syarikalahu lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai-in qadir. Maka diampuni Allah segala kesalahannya, walaupun sebanyak buih di lautan." (Hadis riwayat Muslim)
¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤

Satukan bajet suami isteri



Satukan bajet suami isteri

Banyak pasangan suami dan isteri tidak berbincang mengenai bajet kewangan mereka, padahal ia boleh disatukan untuk kebaikan sekeluarga.

Membina keluarga bahagia ketika sedang menghadapi kemerosotan ekonomi bukannya satu perkara yang mudah. Sekiranya tiada kesabaran dan iman, kita pasti menghadapi masalah persefahaman dan emosi dalam menyelenggara perbelanjaan harian, bulanan dan tahunan keluarga.

Hari ini cuba anda duduk bersama pasangan hidup dan berbincanglah mengenai perancangan kewangan, selain apa yang kita inginkan dalam kehidupan.

Walaupun masing-masing mempunyai matlamat sendiri, apa kata kita gandingkan bersama dan menjadi lebih kreatif dalam merealisasikan impian kita berdua atau sekeluarga.

Kita perlu bersetuju bahawa ia merupakan langkah bijak untuk mengurus bajet demi kepentingan seisi keluarga.

Apabila bajet ini dapat dicipta bersama, anda akan mendapati bahawa ia lebih senang dan mudah untuk melaksanakannya. Sekiranya timbul masalah, ia juga lebih mudah untuk diselesaikan bersama.

Inilah keistimewaan bajet dan perancangan kewangan yang sihat apabila sepasang suami isteri mempunyai kematangan arah tujuan dan dapat mengawal situasi secara realistik.

Dalam kita menentukan matlamat kewangan bersama, kita perlu catatkan:

Matlamat kewangan jangka pendek yang mungkin terdiri daripada beberapa perkara di bawah:

*Makanan
*Pakaian (harian atau pejabat)
*Bayaran ansuran
*Barangan rumah
*Bil-bil air, elektrik, telefon dan lain-lain
*Buku-buku dan alat tulis
*Hiburan dan percutian
*Bayaran pinjaman perumahan

Matlamat kewangan jangka panjang pula mungkin terdiri daripada beberapa perkara di bawah:

*Tabungan persaraan bersama
*Wang perbelanjaan kolej atau universiti anak-anak
*Premium insurans hayat, penyakit berbahaya dan perubatan
*Wang untuk didermakan kepada anak-anak yatim

Sambil mencatat matlamat jangka pendek dan jangka panjang bersama, tuliskan juga amaun di sebelah setiap perkara. Tujuan kita melakukannya adalah untuk menghitung kos yang perlu dijelaskan pada setiap bulan atau tahun.

Untuk kos bayaran bulanan, beberapa bayaran seperti hutang kereta dan bayaran pinjaman perumahan, amaunnya mungkin tidak berubah setiap bulan. Namun begitu, untuk bayaran yang berubah, anda perlu isikan amaun anggaran.

Perkara yang perlu diberi perhatian ialah apabila kita menghitung kos matlamat jangka panjang seperti tabungan persaraan bersama.

Walaupun amaun yang diperlukan agak besar, amaun yang diketepikan setiap bulan akan bertambah dengan cepat dan selamat apabila disimpan di institusi kewangan yang memberikan pulangan yang baik.

Siapkan penghitungan di atas dan dapatkan amaun bulanan yang diperlukan.

Seterusnya, lakukan dua salinan, iaitu satu untuk suami dan satu lagi untuk isteri. Tandatangan di kedua-dua salinan tersebut dan berjanji akan melakukan yang terbaik agar matlamat-matlamat itu akan menjadi kenyataan.

Anda juga perlu berjanji bahawa tabiat buruk seperti pembaziran wang semestinya dikurangkan.

Hanya cara inilah jalan terbaik di mana bukan sahaja kita berpeluang menggabungkan wang daripada gaji bulanan bersama, bahkan kita dapat berkongsi beban kewangan setiap bulan atau setiap tahun.

Seterusnya, lakukan proses mencatat semua pembelian dan pembayaran yang dilakukan dalam sebulan ini.

Lakukan dengan ikhlas supaya kita dapat mencapai matlamat kewangan bersama dengan sempurna. Semuanya mustahak dan harus dicatat. Daripada pembelian atau pembayaran tunai, cek atau menggunakan kad kredit, selagi ia bernama wang, semuanya ditulis dalam buku nota yang dibawa bersama, ke mana saja kita pergi. Di sini, kita dapatkan jumlah keseluruhan yang digunakan setiap hari.

Setelah sebulan kita berjaya mencatat semua pembelian dan pembayaran, kita harus bermesyuarat dan sama-sama menganalisis dan mengkategorikan berapakah wang yang digunakan untuk keperluan makanan, pakaian, barangan rumah, hiburan, percutian dan sebagainya. Pasti proses sebegini dapat memberikan satu kesedaran kerana melalui cara ini sajalah kita mengetahui kebaikan dan kelemahan pasangan hidup kita.

Apabila kesemua proses di atas telah dilakukan selama sebulan, jangan pula anda berhenti di situ sahaja. Kita hendaklah meneruskan amalan yang baik ini untuk selama-lamanya.

Ini kerana apabila matlamat jangka pendek telah dicapai, kita perlu mencapai matlamat jangka panjang pula. Dalam kita meneruskan perjalanan hidup bersama dengan lebih bermuafakat, jangan lupa untuk mengucapkan terima kasih dan syabas sebagai tanda kita telah berjaya melakukan satu perjanjian matlamat hidup bersama.

Tuesday, April 28, 2009

Bercakap

  • Di antara keistimewaan yang Allah anugerahkan kepada manusia ialah kebolehan bercakap.
  • Oleh itu boleh "bercakap" itu ada lah juga amanah Allah kepada manusia.
  • Orang mukmin hendak lah berfikir terlebih dahulu sebelum bercakap.
  • Takut takut "cakap" nya itu di benci orang dan di murkai Allah.
Islam menganjurkan manusia apa bila hendak bercakap kena hati hati saperti yang di sabdakan oleh Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
"Barang siapa yang beriman dengan Allah dan Akhirat hendaklah ia bercakap yang baik atau diam sahaja."

Orang yang bercakap mempunyai tujuan yang berbeza beza.Dan boleh di kategorikan saperti berikut:
  1. Golongan cakap orang merapu
  2. Golongan orang peramah
  3. Golongan kaki cakap

  4. Golongan cakap sebagai pejuang
  5. Golongan cakap orang politik
  6. Golongan cakap orang pendiam
  7. Golongan cakap orang sombong
  8. Golongan cakap orang biasa
  9. Golongan cakap cakap nak perdaya
  10. Golongan petah bercakap
  11. Golongan cakap hendak tunjuk pandai
  12. Golongan cakap cakap kotor dan lucah
  13. Golongan cakap suka memaki

Selain dari di atas ada peringkat peringkat yang bercakap ialah:
  1. Bercakap perkara yang perlu sahaja
  2. Bercakap yang terpaksa
  3. Bercakap kerana kewajiban
  4. Tidak suka bercakap
  5. Bercakap yang sengaja di sukat kerana menjaga status
  6. Bercakap yang menggoda.

Friday, April 17, 2009

Detik-Detik Rasulullah Dijemput Sakaratul Maut


                           Saat Rasulullah Dijemput 
                                  Detik-Detik Rasulullah Dijemput Sakaratul Maut 
Ada sebuah kisah tentang cinta yang sebenar-benar cinta yang dicontohkan Allah melalui kehidupan Rasul-Nya. Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung gurun enggan mengepakkan sayap. 
  
Pagi itu, Rasulullah dengan suara terbatas memberikan kutbah, "Wahai umatku, kita semua ada dalam kekuasaan Allah dan cinta kasih-Nya. Maka taati dan bertakwalah kepada-Nya. Kuwariskan dua perkara pada kalian, Al Qur'an dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku." 
  
Khutbah singkat itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah yang tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar menatap mata itu dengan berkaca-kaca, Umar dadanya naik turun menahan nafas dan tangisnya. Usman menghela nafas panjang dan Ali menundukkan kepalanya dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba. "Rasulullah akan meninggalkan kita semua," keluh hati semua sahabat kala itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya didunia. 
  
Tanda-tanda itu semakin kuat, tatkala Ali dan Fadhal dengan cergas menangkap Rasulullah yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari mimbar.. Disaat itu, kalau mampu, seluruh sahabat yang hadir di sana pasti akan menahan detik-detik berlalu. Matahari kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah masih tertutup. Sedang di dalamnya, Rasulullah sedang terbaring lemah dengan keningnya yang berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya. 
  
Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. "Bolehkah saya masuk?" tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk,"Maafkanlah, ayahku sedang demam," kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.. 
  
Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, "Siapakah itu wahai anakku?" "Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya," tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan. Seolah-olah bahagian demi bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang. 
  
"Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia. Dialah malakul maut," kata Rasulullah. Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya. Kemudian dipanggilLah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut roh kekasih Allah dan penghulu dunia ini. 
  
"Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?" Tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah. "Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu. Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu, " kata Jibril. 
  
Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan. "Engkau tidak senang mendengar khabar ini?" Tanya Jibril lagi. "Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?" "Jangan khuatir, wahai Rasul Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat Muhammad telah berada di dalamnya," kata Jibril. 
  
Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. "Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini." Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang di sampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka. "Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?" Tanya Rasulullah pada Malaikat Penghantar Wahyu itu. "Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal," kata Jibril. 
  
Sebentar kemudian terdengar Rasulullah memekik, kerana sakit yang tidak tertahankan lagi. "Ya Allah, dahsyat rasa maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku." Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, Ali segera mendekatkan telinganya. "Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku" - "Peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu." 
  
Di luar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan. Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan. "Ummatii, ummatii, ummatiii" - "Umatku, umatku, umatku" Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu. 
  
Kini, mampukah kita mencintai sepertinya? Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi... Betapa cintanya Rasulullah kepada kita. Kirimkan kepada sahabat-sahabat muslim lainnya agar timbul kesedaran untuk mencintai Allah dan RasulNya, seperti Allah dan Rasulnya mencintai kita. Karena sesungguhnya selain daripada itu hanyalah fana belaka. 

Thursday, April 16, 2009

Penawar Kepenatan

Assalamualaikum Teman-Teman

Penawar Kepenatan , Amalkanlah di ajar oleh Rasullullah S.A.W


Penawar Kepenatan, amalkan...


Bagi mengatasi kepenatan melaksanakan tugas-tugas seharian sama

ada di rumah mahupun di tempat kerja, bolehlah jadikan petua yang
diajar oleh Rasulullah s.a.w. kepada puteri kesayangannya Saidatina
Fatimah sebagai penawarnya.

Suatu hari Saidatina Fatimah mengadu kepada suaminya Saidina Ali bin
Abu Talib tentang kesakitan pada tangannya kerana keletihan menggiling
gandum untuk membuat roti. Saidina Ali berkata :

"Bapa kamu telah datang membawa balik tawanan perang. Berjumpalah

dia dan mintalah seorang khadam untuk membantu mu.."

Saidatina Fatimah pergi bertemu bapanya dan menyatakan hasrat untuk
mendapatkan seorang khadam bagi membantu tugas hariannya di rumah.
Bagaimanapun Rasulullah s.a.w. tidak mampu memenuhi permintaan anak
kesayangannya itu. Lalu Baginda s.a.w. pergi menemui puterinya serta
menantu itu. Baginda s.a.w. berkata:

"Apa kamu berdua mahu aku ajarkan perkara yang lebih baik daripada

apa yang kamu minta daripadaku? Apabila kamu berdua berbaring untuk
tidur, bertasbihlah (Subhanallah) 33 kali, bertahmid (Alhamdulillah)
33 kali dan bertakbir (Allahuakbar! ) 33 kali. Ia adalah lebih baik untuk
kamu berdua daripada seorang khadam."

Inilah penawar ringkas yang Nabi s.a.w. ajarkan kepada anak dan
menantunya bagi meringankan keletihan dan kesusahan hidup mereka

berdua.

Saidina Ali terus mengulang-ulang kalimah-kalimah Rasulullah.s. a.w.
ini.

Katanya "Demi Allah aku tidak pernah meninggalkannya semenjak ia
diajarkan kepadaku."

Sayugia dicadangkan kepada ibu-ibu, suami-suami atau sesiapa sahaja
yang merasai kepenatan setelah melakukan tugas-tugas harian supaya
mengamalkan membaca 'Subhanallah' (33 kali), 'Alhamdulillah' (33 kali)
dan 'Allahuakbar' (33 kali) pada setiap malam i
aitu sebelum melelapkan
mata.

Lakukanlah dengan penuh ikhlas dan istiqamah (berterusan) , Insya-
Allah petunjuk Nabawi ini mampu menyelesaikan bebanan-bebanan

hidup seharian kita. Akan terserlah ceria di wajah pada keesokan hari
dengan senyuman.

"Sebarkanlah ajaranku walau satu ayat pun"
(Sabda Rasulullah SAW)

"Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni

bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya,
maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar."