Friday, June 02, 2006

Ajaran jimat cermat dalam islam

Ajaran jimat cermat dalam islam

(1)

kewajipannya

dalam risalah yang kedua dahulu berkenaan dengan "kewajipan kita kepada diri sendiri" telah ada disebut sedikit dari hal keewajipan berjimat cermat. Tetapi disitu masalah ini telah disentuh sambil lalu sahaja, tiada diluaskan dengan kadar yang mencukupi. Maka disini biarlah kita perkasa keteranganya dengan lebih luas dan memuaskan lagi.

Oleh zaaba

Firman tuhan dalam surah al-isra' (………………………………………………………………(surah al-isra' ayat 26-27)

Ertinya janganlah kamu membuang-buang belanja membazirkan harta benda dengan sia-sia, bahawa orang yang membazir pada belanjanya dan harta benda itu ialah adik beradik dengan (kenyang) syaitan, pada hal adalah syaitan itu tiada mengenang budi kepada tuhannya."

Kemudian firmannya pula dalam surah itu juga: (………………………………………………………………...(surah al-isra' 29)

Ertinya: "dan jangan engakau letakkan tangan engkau teranti kepada leher engkau – yakni kedekut bakhil tak mahu menghulur memberi-beri – dan jangan pula engkau bukakan tangan engkau itu berlebih-lebihan terbuka dengan sehabis-habisnya. Kerana jika engkau kehabisan harta nescaya engkau terpaksa duduk dikeji orang dan melaung dalam kepa-paan."

Pada lain tempat firmanya pula:

(……………………………………………………………….surah al-furqan 69)

ertinya: "dan (mereka yang dekatkan penyembah tuhan yang maha penyayang itu diantaranya ialah) segala mereka yang apabila mereka membelanjakan wang tidaklah dengan habur dan boros, dan tidak pula dengan kedekut, lokek, terlampau berdikit-dikit hingga tak mencukupi khendak-khendak yang mustahak; tetapi adalah mereka mengambil tempat ditengah-tengah dengan sama timbangan diantara dua itu."….pendeknya ialah mereka yang tahu menimbang belanja atas ukuran yang patut dan sederhana.

Maka dalam ayat yang akhir ini perangi jimat cermat itu tuhan kirakan sebagai satu daripada sifat-sifat mulia bagi beberapa kumpulan orang baik-baik seperti yang disebutkan satu persatunya dalam ayat 63 hingga 74 surah itu; dan kesudahanya dinyatakan balasanya yang serupa bagi sekalianya mereka itu dalam akhirat, iaitu disebutkan dalam ayat 75 dan 76:

(…………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………………)

yakni: mereka itu sekalian akan diberi balasan dengan tempat yang tinggi (dalam syurga) oleh sebab sabar dan celaka hati mereka (menyempurnakan sifat-sifat yang mulia itu(: disana mereka akan disambut dengan ucapan hormatdan selamat, dan akan duduk kekal didalamnya – sangat indah tempatnya untuk diam tetap dan bersenag-senang."

Demikian lagi ada firmanya yang lain melarang daripada berbuat boros: tuhan benarkan kita makan minum dan memakai dengan sederhana dan atas kadar yang patut, tetapi dilarangnya jangan membuang-buang dan habur, atau membuat berlebih-lebihan dengan percuma. Misalnya firman tuhan:

(……………………………………………………………………………………………………………………………………………………………surah al-an'am 141)

ertinya:………."Makanlah oleh kamu daripada buah-buah (yang tersebut) itu apabila musim ia berbuah, dan bayarlah hak yang diwajibkan pada hari menuai atau mengumpul buahnya kelak; tetapi jangan kamu membuang-buang dengan membuat apa-apa berlebihan-lebihan:bahawasanya tuhan tidak gemar akan orang-orang yang membuang-buang dan berbuat sesuatu lebih daripada patut." Dan firmanya lagi:

(……………………………………………………………………………………………………………………………………………………………..surah al-a'raf 31)

ertinya: "hey segala anak cucu keturunan adam, yakni manusia! Pakailah segala pakaian dan perhiasan kamu yang elok-elok pada segala masa dan tempat sembahyang. Dan makan minumlah kamu: tetapi jangan berlebih-lebihan dan membuang-buang: bahawasanya tuhan tidak suka akan orang yang berlebih-lebihan dan membuang-buang."

Adapun hadis nabi kita SAW yang menyuruh berperangai jimat cermat itu memuji akan dia banyak ada; Insyallah akan disebutkan pada tempatnya yang munasabah kemudian kelak. Demikian pula perkataan sahabat-sahabt nabi, perkataan ulama' dan hukama' yang kebilangan pada zaman dahulu, dan lain-lainnya.

Maka yang dikatakan "jimat cermat" itu ada dua macam maknanya dipakai dan dipahamkan orang – satu ialah dengan maksud iaitu suatu cawangan alam pengajian yang luas, lebih biasa disebut diantara orang-orang yang berpelajaran barat sekarang dengan nama economics dan dalam bahas arab "ilmil iqtisod" maka iaitu pengajian mentadbirkan harta dan jalan-jalan mendapat kekayaan negeri daripada hasil mahsul dan sebagainya, dan peri menjalankanya dan cara-cara menggunakannya yang berbagai-bagai supaya ia bertambah banyak dan tumbuh semakin luas bagi faedah negeri dan orang ramai. Maka ialah diantara ilmu-ilmu yang terlibat masyur dan terbesar sekali mintanya dalam kemajuan dunia zaman ini, dan ia juga diantara ilmu-ilmu yang terlibat sekali dipentingkan oleh ahli-ahli penyiasat yang mengkali keadaan masyarakat dan hal ehwal pergaulan manusia; demikian juga oleh ahli-ahli pemerintah negeri. Pendeknya ialah suatu ilmu yang dikira terlalu penting diantara ilmu-ilmu kemodenan dan kemajuan kaum bangsa dan zaman sekarang. Dalam agama islam perkara iqtisad atau jimat cermat yang luas demikian ini adalah dikirakan dalam peraturan zakat, iaitu satu daripada rukun islam yang lima, dan peraturan zakat fitrah; serta diluaskan oleh fukaha' dalam peraturan juziyah, khoroj, baitul mal dan au kof, selain daripada ajaran menggalakkan bersedekah dan berkhairat daripada orang-orang kaya-kaya. Maka dengan fahaman ini tidaklah termasuk ia dalam maksud kita disini.

Kedua ialah jimat cermat dengan maknanya suatu daripada sifat kelebihan yang mulia dalam tabiat keperangaian manusia. Maka dengan fahaman ini adalah ertinya iaitu kelakuan beringat mengasingkan sedikit daripada wang dan harta dan meyimpanya bagi digunakan apabila tiba masa sesak dan kesukaran ketika kita berkhendak kepadanya setelah kehabisan wang yang lain. Samada habis dengan sebab dibuat belanja atau sebab apa-apa kemalangan seperti rumah terbakar dan sebagainya. Jadi apabila terlibat hal yang semacam itu tidaklah terkejar-kejar minta tolong kepada orang ke sana ke mari, atau tidaklah keputusan langsung. Maka inilah satu daripada perkara-perkara yang dikata oleh bidalan malayu "menyediakan paying sebelum hujan"; jika tiada hujan tak mengapalah. Tetapi paying ada sedia sekiranya turun hujan. Selain daripada itu biasa juga difahamkan perkataan "jimat" itu sahaja dengan makna cukup jika pada harta benda, dijaga dengan cermat tiada diberi rosak atau hilang; dan jika pada berbelanja dijaga dengan cermat tiada mahu membuang-buang serta pandai berdikit-dikit supaya jangan kehabisan atau supaya ada yang tersimpan untuk pergunaan yang lebih besar, lebih mustahak atau lebih berfaedah, pada masa yang kehadapan. Maka jimat cermat atau "iqtisod" dengan fahaman yang kedua inilay yang kita maksdukan sekarang.

Perkataan "iqtisod" itu asalnya daripada "qasad" iaitu satu daripada maknanya yang asal dalam bahasa arab ialah "mengambil jalan pertengahan pada berbelanja, berkira dengan adil, dan patuh apabila membelanjakan wang, dan menimbang dengan timbanagn sederhana diantara dua tepi yang berlebihan" – satu terlampau habur dan boros dan satu pula terlampau lokekdan bersekat sangat. Maka hendaklah dielakkan kedua-dua "tepi yang berlebihan" itu, diambil perdirian ditengah-tengah. Kebetulan pula inilah makna "jimat cermat" yang biasa difahamakan dalam bahasa melayu.

Bahawa dengan berbuat jimat cermat demikian ini tidaklah seseorang itu mencuba hendak menyayang atau menyemai orang yang terlebih kaya dan terlebih banyak. Wang daripadanya apabila berbelanja. Jika orang kaya-kaya itu berbelanja besar tidaklah ia meniru hendak berbelanja besar seperti itu pula. Kerana jika perbuatanya demikian tentulah ia kan terpaksa jatuh ke dalam cengkaman hutang, terpaksa meminjam, berhutang dan bergadai; dan hasilnya apabila tiada upaya membayar hutang itu ia akn menjadi papa dan bankrap, tidak ada mempunyai wang dan harta sendiri; dan tiada pula kemerdekaan diri, kerana orang-orang tempat is berhutang itu tentulah tiada berhenti menuntut piutang kepadanya, dan ia pun sentiasa terpaksamelarikan diri dan bersembunyi supaya dapat mengelakkan atau melecehkan daripada membayar hutang itu!! Maka pada ketika itu jatuhlah mood tuan pada pandangan segala orang yang melihat dia, dan orang-orang yang tahu akan halnya itupun tiadalah menyukai dia lagi atau memandang hormat kepadanya seperti dahulu. Pendeknya inilah yang dikata oleh pepatah melayu: "gajah berak besar kancil pun nak berak besar, akhirnya kebabangan atau keluar isi perut!"

Demikian lagi dengan jalan berjimat cermat yang patut dan adil seperti itu tidaklah seseorang itu jadi lokek dan kedekut berbelanja pada barang apa perkara yang sebenarnya mustahak bagi dirinya dan anak ahlinya; dan tidak pula ia tamak dan bakhil daripada bermurah hati menghulurkan pertolongan kepada orang yang kesusahan dan yang sebetulanya berkhendak pertolongan. Kerana jika ia lokek tak mahu menolong-nolong, nescaya dirinya sendiri dan kaum bangsanya akan terdedah kepada bahaya kerosakan dengan sebab rosak pergaulan hidup mereka, dihinggapi oleh ahli-ahli buruk dan kejadian-kejadian jahat yang terbit daripada keadaan bangsat mereka itu. Maka pada ketika itu ia akan berhidup dengan kelakuan tiada kasihan belas, tiada ketenangan dan tiada ketenteraman.

Jadinya, dengan sebab pandai mengira-ngira dan menimbang belanja atas jalan jimat cermat yang demikian, seseorang itu dapat hidup dalam sederhana pada perbelanjaan dan segala cara-cara ia menggunakan wang dan hartanya. Ia berjimat dengan seberapa dengan bolehnya yang patut untuk menentang apa-apa jua timpaan susah yang dibawakan oleh peredaran masa dan apa-apa kemalangan yang terjadi atauyang harus akan terjadi. Oleh itu jika kecil pendapatan kecilah belanja dan kecil pula yang diketepikan untuk disimpan tidak dihabiskan semuanya; jika besar pendapatn besarlah pula simpanan itu.

Bahawasanya seseorang itu tidaklah dapat menentukan apakah hal yang akan terjadi pada masa kehadapan , apa perkaranya yang masih tersembunyi dalam perut masa; dan tidak pula ia dapat menetukan yang ia tetap sahaja akan terselamat daripada kejadian-kejadian perubahan hari. Demikian lagi tidaklah boleh tahu. Adakah kesenangan dan kemewahan yang ada kepadanya sekarang itu akan berkekalan, dan adakah pintu rezekinya akan sentiasa terbuka sahaja, atau ada masanya akan tertutup? Oleh sebab itu sepatutnya, bahkan sewajibnya benarlah, ia berikhtiar membuat persediaan bagi kedatangan hari susah itu sebelum sampainya jika ia sampai, dan menyiapkan untuk masa kesempitan itu sebelum dirinya termasuk kedalamnya jika termasuk.jalanya bersedia dan membuat kesiapan itu ialah dengan mengumpul dan meyimpan sedikit-sedikit wang dan harta pada masa ia dalam kemudahan rezeki, untuk menentang kesempitan itu jika tiba kelak. Maka yang demikian itu hanyalah boleh diperbuat dengan berjimat cermat pada perbelanjaan dan pada cara-cara penghidupan, seperti yang diajar kepada kita dalam ayat-ayat Quran yang telah disebutkan ini.

Makna dan maksud berjimat cermat seperti yang telah diterangkan ini ada didapati dalam hadis-hadis yang mulia; satu daripadanya sabda nabi SAW:

(……………………………………………………………………………………………)

ertinya: "Allah taala rahmati akan seseorang yang berusaha bagi mendapatkan rezeki yang baik, dan berbelanja dengan sederhana, dan mengasingkan lebih dahulu sedikit baki disimpan untuk hari kalau tiba sesak sukar dan terpaksa berhajat kepadanya"

"berusaha mendapatkan rezeki yang baik" (…………………) yakni rezeki yang halal dan bersih; "berbelanja dengan sederhana" (…………………) yakni atas atau ukuran yang patut dan pertengahan, tidak terlampau diceking dan tidak pula habur dan boros; "mengasingkan lebih dahulu sedikit baki" (………….) yakni "baki" atau bahagian yang tertinggal lebih-lebih daripada wang belanja – atau sebahagian kecil yang sengaja diketepikan siang-siang sebelum berbelanja itu – diasingkan dan disimpan untuk bekal masa kedatangan sempit dan sesak sukar jika terjadi demikian itu; atau untuk bakal masa telah tua dan lemah kelak, kerana masa tua itu biasanya disertai oleh keadaan fakir, lemah, uzur, tiada cukup berdaya, dan tiada berduit, dan tiada cukup berdaya, dan tiada berduit,. Kata arif "kalau tua eloklah ada duit" yakni jika tua tiada mempunyai wang atau harta nescaya tiadalah siapa yang akan mengambil tahu atau mengambil berat pun akan susah payah dan sakit pening kita, kerana tiada apa yang diharapkan akan dapat.

Maka alangkah eloklah pengajaran jimat cermat yang disyarakkan dalam agama islam ini? Orang-orang yang tiada tahu berjimat-cermat tentu sentiasa berhajat kepada pengajaran ini dan mesti mengikut dan memakainya walau apa pun agama mereka, dan apa pun tingkat lapisan hidup mereka, bahkan walau apa pun peredaran hal ehwal mereka dan darjat kemajuan mereka.

Jimat cermat atas rupa yang ditunjukkan ini, yang telah dibawakan ajaranya kepada kita oleh pembawa syariat islam yaitu junjungan kita nabi Muhammad SAW yang bijaksana itu, ialah satu daripada kewajipan kita kepada diri sendiri masing-masing. Maka si kayalah diraikan ajaran ini oleh tiap-tiap orang apabila menjalankan kewajipan mencari kehidupan, berusaha, berniaga, bercucuk tanam, bertukang-tukang, membuat barang-barang, makan gaji, dan sebagainya. Jika diikuti pendoman ini nescaya selamatlah ia apabila mendapat wang dan harta daripada barang apa-apa usahanya itu. Ia tidak akan membebaskan tanganya berbuat diatas wangnyaitu mengikut, suka-suka nafsunya sahaja, hingga wang itu habis, menjadi abu dan angin dengan tiada berketahuan, punah dan binasa kerana menjamu kecenderungan nafsu. Kerana jika diperbuatnya demikian nescaya rugilah ia dan terlucut daripada tanganya perkakas dan peluang yang sepatutnya boleh menyampaikan dia kebajikan dengan berbuat perbuatan-perbuatan yang mulia, atau boleh menghasilkan dapat sebanyak sedikit akan cita-cita keinginannya yang tinggi-tinggi.

Maka apabila telah terjadi demikian itu adalah perolehan yang didapatinya hanya kecewa dan kepa-paan jua: kata bidal melayu "ikut hati mati, ikut rasa binasa". Hadis yang tersebut tadi itu pada satu pihaknya lagi pula adalah menyuruh kita jangan tamak dan kikir, yakni jangan suka semata-mata mengumpul wang dan kekayaan, dan kemudian meyimpanya seperti berhala tok pekong tiada mahu mebelanjakan dan menggunakan pada perkara yang patut dan kebajikan, hanya sepanjang masa ingin akan kekayaan itu biar bertambah banyak sahaja lagi!! Hadis itu menyebut (…………………..) ertinya "ia membelanjakan wangnya itu dengan sederhana dalam sempadan yang patut dan adil, bukan disimpan dan dipuja sahaja seperti berhala bukan kikir dan kedekut bukan semata-mata gila hendakkan wang dan harta itu bertambah semakin banyak sahaja, tiada lain lagi, kerana jika demikian bukanlah jimat cermat namanya, melainkan ialah kikir, bakhil, lokek dan kedekut. Terkadang orang yang demikian bukan kedekut kepada orang lain dan fakir miskin dan kerja-kerja kebajikan umum sahaja, tetapi kedekut kepada dirinya sendiri juga, kepada anak ahlinya dan orang-orang dalam tanggungannya pun: hingga perkara-perkara yang tak boleh tidak bagi kehidupan sendiri dan kehidupan anak ahlinya itu pun disekatnya, tiada diberinya! Maka kesukaanya sehari-hari hanyalah mengira dan membilang-bilang wangnya dan hartanya itu sahaja, dilihat jangan ada yang hilang atau luak (berkurangan), dan berapa banyak bertambahnya!!

Maka inilah jenis orangnya yang dikondem (condemn) oleh tuhan dalam ayat: ……………………*……………………….*………………….. : (surah al-humazah 2-4) ertinya : "orang yang menghimpunkan harta dan membilang-bilangnya*disangkaan kekayaan itu akan mengalakkan dia hidup selama-lamanya*tidak! Sekali-kali tidak! Ia tentu sekali akan dihumbankan ke dalam api neraka yang memecah belahkanya."…….demikian pula inilah juga jenis orangnya yang ditemplak oleh tuhan dengan firmanya: (………………………………………………) (surah al-takathur ayat 1) ertinya: "kamu telah dilalikan oleh perasaan gila hendak menambah-nambah banyaknya harta sahaja hingga sampai kamu melawat ke tanah perkuburan kelak"!...akhirnya kata tuhan lagi : (………………………….*………………………*………………………..*) : surah al-takathur 6) ertinya : "tidak!tidak! kalau kirannya kamu tahu dengan pengetahuan yang yakin betul* tentulah kamu akan nampak api neraka jahanam* kemudian kamu akan nampak melihatnya dengan pandangan mata yang tiada syak sekali-kali."

Dalam kehidupan di dunia ini orang yang mengumpul harta dan kekayaan dengan lokek demikian itu tetaplah akan jadi seolah-olah dirinya itu fakir dan papa kerama pada hakikatnya yang sebenar, walaupun ia kaya dan "millionair" pada nama dan pada rupanya. Maka tiadalah kekayaan yang dikumpul dan disayangnya demikian itu bermakna apa-apa atau memberi faedah apa-apa jua pun, walau kepada dirinya atau kepada orang lain. Pendeknya tiadalah berguna harta itu tinggal didalam tanganya. Sepatutnya harta yang dimilikinya itu jadi khadam kepadanya; tetapi dengan sebab lokek dan kikirnya seperti yang tersebut itu maka dirinya pula yang menjadi khadam dan hamba kepada hartanya itu dan harta itu menjadi tuan atau "tuhan" kepadanya!! Ia takut jadi miskin kalau banyak berbelanja, tetapi kikirnya itu sebenar-benarnya menjadikan dia miskin juga pada hakikatnya. Maka itulah di kata oleh ahli syair:

(…………………………………………….)

(……………………………………………..)

ertinya "barang siapa memakai beberapa banyak masa pada mengumpulkan hartanya sahaja, yakni tidak membelanjakanya*kerana takut akan ditimpa kemiskinan satu hari kelak, maka orang itu ialah memelihara dan menyuburkan kefakiran bagi dirinnya jua."

Adapun jika ia berkhendak mencapai kebajikan maka hendaklah ia membelanjakan wang dan harta yang disayanginya itu pada kerja-kerja yang menghasilkan kebajikan, terutama kebajikan umum, bukan bagi kebajikan diri sendiri sahaja.

Firman tuhan : (………………………………………………….) (surah al-imran 92)

Ertinya :"kamu tidak akan dapat mencapai kebajikan sehingga kamuberbelanja (membuat khairat) daripada apa harta yang kamu sayangi." Maka "berbelanja" itu termasuklan didalam maknannya "berkhairat" dan "bersedekah" juga.

Lain daripada hadis yang telah diberi tadi banyak ada hadis-hadis lagi yang menunjukkan nabi kita Muhammad SAW sentiasa sangat mementingkan perkara jimat cermat yang patut dan pertengahan ini. Tetapi kita tangguhkan dahulu menyebutkannya kemudian kelak dalam salah satu bahagian bahas ini yang akan datang. Sementara itu memadailah dikata dahulu disini bahawa kelakuan jimat cermat seperti yang diajar oleh agama kita ini sangat-sangat fardhu bagi kemajuan dan kejayaan dunia tiap-tiap orang dan tiap-tiap bangsa pun – selain daripada mesti ada pelajaran dan alam pengetahuan dan budi perangai yang mulia – baik bangsa islam atau bangsa yang bukan islam.